Home » Langit Terbuka » Kami tidak mahu pulang – Rohingya

Kami tidak mahu pulang – Rohingya

Keganasan ke atas Rohingya menjadikan Myanmar ibarat ‘neraka’

DHAKA 10 Jan. – Pelarian Rohingya di Bangladesh menegaskan mereka tidak mahu kembali ke Myan­mar ketika pihak berkuasa di Dhaka mendesak Yangon supaya ‘mengambil semula’ etnik Islam itu yang dilaporkan mencecah 65,000 orang.

Seorang pemimpin masya­ra­kat Rohingya di Bangladesh, Ko Ko Linn berkata, etnik itu sebalik­nya merayu ketua-ketua kerajaan yang ‘mesra Rohingya’ supaya menerima dan membenarkan mereka menetap di negara ma­sing-masing.

Linn sebagaimana lapor portal Arakan News Agency memberitahu, keadaan di Myanmar sudah tidak boleh didiami terutama sejak kebelakangan ini dan pelarian tidak mahu kembali ke Myanmar yang anti-Rohingya.

“Kerajaan Myanmar dan masyarakat Buddha yang merupakan majoriti penduduk negara itu bertindak ganas ke atas etnik Rohingya dengan menjadikan Myanmar ibarat ‘neraka’ buat kami,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah pe­nempatan haram baharu yang menempatkan pelarian Rohing­ya yang memasuki Bangladesh tanpa kebenaran dibuka di sebuah kawasan milik Jabatan Perhuta­nan berhampiran Kampung Ba­lukhali dekat Cox’s Bazar.

Buat masa ini, terdapat tiga kawasan setinggan Rohingya yang bersempadan de­ngan kawasan Ukhia dan Teknaf yang dikenali sebagai ‘Ro­hingya Tal’.

Tinjauan portal Daily Star baru-baru ini pula mendapati, be­ratus-ratus penduduk Rohingya dirakam sedang membina rumah setinggan di tanah kerajaan seluas 101 hektar.

Kira-kira 500 buah rumah setinggan dibina dan terdapat 5,000 pelarian yang menetap dan mencari perlin­dungan di penempatan berkenaan.

Dalam perkemba­ngan ber­kaitan, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menulis surat kepada Setia­usaha Agung baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres untuk menuntut tindakan antarabangsa supaya menghentikan pencabulan ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

Katanya, nasib etnik Rohingya mengundang kebimbangan antarabangsa selepas hak mereka untuk menjadi warganegara dinafikan selain terdedah kepada pembunuhan, penyeksaan dan layanan tidak adil pihak berkuasa.

Kebimbangan sama turut dibincangkan Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault yang menghubungi bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan baru-baru ini.

Ayrault mengulangi sokong­an­­­nya kepada suruhanjaya yang diketuai Annan dan kedua-dua bersetuju untuk mengekalkan hubungan rapat berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, kerajaan Indonesia melaksanakan diplomasi intensif bagi membantu menyelesaikan kon­flik kemanusiaan yang menjejaskan penduduk Rohingya di Myan­mar.

Jelasnya, Indonesia berusaha untuk merapatkan hubungan antara Myanmar dan Bangladesh yang terjejas akibat konflik di kawasan sempadan negara.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *