Home » Langit Terbuka » Kanak-kanak berbasikal waktu malam isu serius

Kanak-kanak berbasikal waktu malam isu serius

JOHOR BAHRU 18 Februari – Isu berkaitan aktiviti berbasikal pada waktu malam melibatkan kanak-kanak dan remaja di sekitar bandar raya ini sering dibangkitkan secara serius sejak 10 tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kebimbangannya mengenai gejala itu yang dikhuatiri tidak dibendung mengakibatkan insiden tidak diingini.

Katanya perkara terbabit dibincangkan pihaknya di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah.

“Memang perkara seumpama ini (kemalangan) dijangka berlaku dan ia sudah pun berlaku hari ini.

“Sebelum ini ada berlaku kemalangan membabitkan kanak-kanak atau remaja berbasikal, namun, ia hanya sekadar seorang atau dua orang berbanding jumlah yang ramai sehingga lapan orang hari ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang disampaikan kepada pihak media oleh Pegawai Khas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abd Rashid Kasman di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dilanggar sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini, kira-kira 3 pagi tadi.

Kemalangan terbabit turut menyebabkan dua lagi remaja masih kritikal manakala enam lagi cedera.

Nur Jazlan berkata selain perbincangan, tindakan penguatkuasaan bersama pihak polis turut dilakukan dalam tempoh 10 tahun tersebut, namun, kumpulan kanak-kanak dan remaja berbasikal tidak mengendahkan nasihat selain melarikan diri apabila didekati.

Beliau turut merakamkan salam takziah kepada seluruh anggota keluarga remaja yang terlibat sekali gus berharap mereka tabah dan reda menghadapi dugaan dan ketentuan dari ALLAH SWT.

Beliau turut  meminta ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak supaya kemalangan yang berlaku tidak berulang.- https://www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *