Home » Langit Terbuka » KDN perlu pantau amalan doa laknat – Mohamad Sabu

KDN perlu pantau amalan doa laknat – Mohamad Sabu

MOHAMAD SABU - UTUSAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memandang serius trend doa laknat sesama Islam yang berbeza pandangan politik di negara ini.

Ini kerana ia tidak sihat untuk perpaduan sehingga boleh mengakibatkan huru-hara dalam kalangan semua kaum jika dibiarkan berterusan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya amalan doa laknat terhadap sesama Islam diamalkan di dalam parti walaupun berbeza pegangan politik.

Menurutnya, sekiranya amalannya diteruskan, ia tidak baik untuk hubungan sesama Islam di negara bahkan dengan masyarakat bukan Islam secara keseluruhannya.

“Sebagai contoh kita lihat doa di Putrajaya baru-baru ini di depan Mahkamah Persekutuan, bagaimana mereka minta supaya Allah memberi pengajaran ataupun mencelakakan yang tidak bersama mereka.

“Lebih besar lagi, apabila Barisan Nasional (BN) menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, pemimpin Pas Pahang mengatakan tahniah kerana penduduk Pelangai memilih untuk berada dalam neraka.

“Trend sebegini beberapa kali kita bincangkan dalam Kabinet dan kita minta Kementerian Dalam Negeri mengambil serius sebab trend tersebut akhirnya boleh sampai ke peringkat menghalalkan darah,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, trend menghalalkan darah adalah kemuncak yang telah pun berlaku di negara Islam seperti Iraq, Syria, Somalia dan beberapa negara lain.

Menurut, jika amalannya tersebut sudah ke tahap sedemikian, jalan penyelesaiannya amatlah sukar.

“Sebab itu trend mutakhir yang tidak bersama puak kami, kamu rosak akidah ini berbahaya sesama Islam dan orang bukan Islam.

“Semoga Amanah yang mempelopori perjuangan rahmat untuk seluruh alam mengambil isu ini dan terus mengemukakan jalan terbaik supaya Islam dapat dilihat sebagai rahmat untuk semua,” katanya.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *