Home » Ensiklopedia » Kebaikan yang Menjerembapkan Ke Neraka:- Oleh Mulhim Khaleed

Kebaikan yang Menjerembapkan Ke Neraka:- Oleh Mulhim Khaleed

Zaman dunia tanpa sempadan… dek kerana warna sehelai gaun, tiba-tiba laman media sosial menjadi perdebatan hangat di antara pengguna seluruh dunia bagi menentukan warna gaun itu sama ada putih dan emas, atau berwarna hitam dan biru.

Isu warna sehelai gaun ini tambah menarik bila The British Broadcasting Corporation (BBC) turut melaporkannya pada 26 Februari lalu dan menjadi viral hingga mendapat komen selebriti terkenal dunia antaranya Kim Kardashian dan suaminya, Kanye West serta pemenang Anugerah Oscar, Julianne Moore dan penyanyi, Taylor Swift.

Asalnya, gambar gaun itu dimuat naik di laman rangkaian sosial, Tumblr oleh seorang penyanyi, Caitin McNeill, dari Scotland yang berpendapat baju tersebut berwarna biru dan hitam.

Kisah sehelai gaun ini saja sudah membuktikan hakikat manusia suka kepada perkara yang sensasi. Tak kira betul atau tidak, asalkan saja ia sensasi, akan tersebarlah cerita – di’viral‘kan dan di ‘share’ kepada kawan-kawan. Dari group ke group (kumpulan khas di dalam aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook) lain hinggakanlah tersebar seantero dunia sepertimana yang berlaku kepada sehelai gaun tadi!

‘Kegilaan’ ini bukan suatu yang pelik. Cuba bayangkan, rakyat Malaysia seramai lebih 29 juta orang. 15.6 juta daripadanya adalah pengguna aktif laman sosial Facebook (US Census Bureu, InternetWorldStats, ITU, Facebook).

Itu hanya penggunaan Facebook di Malaysia yang mana secara puratanya memiliki 233 orang rakan dalam satu akaun media sosialnya (bilangan purata tertinggi di dunia) (wearesocial.sg, 2011).

Bayangkan pula jika cerita sensasi (kesahihan menjadi tanda tanya) disebarkan di kesemua media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp, Vine, Snapchat, Instagram, Twitter,  LinkedIn dan lain-lain yang sudah pasti banyak pengikutnya.  Itu belum lagi dikira jika seorang individu memiliki lebih dari satu aplikasi sosial.

Maka bersebaranlah pelbagai spekulasi (baca fitnah) dan ‘fatwa’ sehingga ada yang menimbulkan perselisihan di dalam group, segala aib dibuka dan terbuka sehingga segala pertalian dirungkai dan terungkai. Sudahnya, bila ditanya, “Sebenarnya sahih ke berita ni?” dan apabila diselidiki, sebaliknya pula berlaku. Nauzubillah min zalik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Allah jelas menyuruh kita selidik terlebih dahulu sebarang berita yang diperoleh. Jangan hanya kerana ia bersifat sensasi terus saja disebarkan tanpa menyemak terlebih dahulu kesahihannya. Waima berita atau mesej yang ingin dikongsikan itu berbentuk nasihat yang kononnya dinukilkan daripada sirah nabi dengan diselitkan sekali hadis dan ayat al-Quran. Takut-takut apa yang disebarkan itu tidak betul.

Al-maklum, teknologi canggih masa kini banyak melahirkan ‘ustaz dan ustazah yang tidak bertauliah’ bak ‘cendawan yang tumbuh selepas hujan.’ Niatnya mungkin baik kerana mungkin untuk berkongsi ilmu dan ingat-mengingati. Tetapi, cuba bayangkan, kita tidak pasti siapa perawi hadis itu tapi kita sebut, “Nabi SAW bersabda…” (tahu tak macam mana telitinya sesuatu hadis itu disahkan sahih? Siapa perawinya? Cukupkah tsiqahnya (kebolehpercayaan?)

Takutlah kepada segala yang diucap dan dilakukan kerana Allah SWT telah mengingatkan, tidak akan ada satu ucapan pun yang keluar dari mulut kita tanpa pengawasan malaikat (Qaf:18). Nak lagi jika kita sendiri tidak membaca dengan teliti dan menghadam dengan baik isi kandungan mesej yang diterima tapi terus menyebarkannya ke semua group yang kita anggotai. Berwaspadalah. Malaikat tidak culas untuk mencatat segala perbuatan kita.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertanggungjawaban.” (al-Isra’:36)

Katakan apa yang disebarkan itu sahih. Awasi pula niat mesej itu disebarkan. Jika niat disebarkan untuk mengadu domba atau mengharapkan sanjungan misalnya, tanpa sebarang sebab yang dibolehkan syarak, maka sudah cukup untuk mendatangkan dosa yang hanya Allah SWT yang tahu akibatnya.

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Cukuplah seseorang dikatakan berdusta jika dia menceritakan semua yang didengarinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Memang tak dinafikan banyak kelebihannya teknologi terkini ini. Tapi kelebihannya perlu diiringi dengan sikap waspada dan hati-hati takut kebaikan yang diharapkan menjerembapkan kita ke neraka Jahanam!

          5 Panduan sebelum SHARE/Forward Mesej

  1. Jangan terburu-buru sebar berita. Tangguhkan sehingga anda benar-benar pasti akan kesahihannya.
  2. Kongsi berita/fakta yang bermanfaat sahaja. Jangan kongsi berita negatif seperti umpatan(kecuali umpatan yg dibolehkan oleh hukum syarak atas maslahat tertentu), gosip yang tidak bermanfaat dan perkara yang jelas mengundang dosa.
  3. Rujuk orang yang arif dalam bidang yang diperkatakan untuk kepastian. Sebagai contoh,hadis dari pakar hadis, perubatan dari doktor perubatan dan sebagainya.
  4. Percaya dan beramal dengan apa yang anda yakin dan faham sahaja. Jangan turuti hal-hal yang kita sendiri tiada ilmu tentang itu (al-isra’:36).
  5. Sentiasa ingat bahawa malaikat sentiasa mencatat setiap amalan kita (Qaf:18) – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI