Home » Persuasif » Kebebasan hak asasi Perlu rujuk agama, budaya dan moral!

Kebebasan hak asasi Perlu rujuk agama, budaya dan moral!

Oleh SHAMRAHAYU A. AZIZ

Prof Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Kepercayaan kepada hak asasi orde Barat telah menghasilkan gelombang yang pantas dan ganas ke serata dunia. Dengan itu, doktrin hak asasi manusia telah berkembang dan merebak dengan meluas sehinggakan ia dianggap sebagai satu ‘isme’ atau ideologi oleh sesetengah pihak, termasuk para cendekiawan atau pengkaji.

Bagi negara kita, kesan ideologi hak asasi ke atas fabrik sosial negara sudah tidak dapat dipertikaikan lagi. Sebagai contoh, kehadiran segmen lesbian, gay, bisexual, transgender, intersexual dan queer atau LGBTIQ dalam ruang sosial kita sudah jelas. Terdapat warga kita yang tanpa segan silu bangun dan bangkit menyatakan dengan lantang tentang sifat atau identiti seksual mereka yang terang-terang bertentangan dengan agama, budaya dan amalan kita.

Kebimbangan kita ialah, apabila keadaan sosial yang tidak lagi menyantuni dan secara terbuka menyanggahi cara hidup Islami dan budaya ketimuran cara hidup Melayu ini dibiarkan berkembang dan terus berkembang, ia berpotensi merobek dan merobohkan institusi agama yang seterusnya meruntuhkan negara.

Kita tidak boleh menafikan lagi bahawa ideologi hak asasi manusia orde Barat yang dianggap sejagat itu sudah berjaya menembusi ruang sosial dan budaya masyarakat kita. Setelah sekian lama perjuangan kebebasan daripada sesuatu dan kebebasan melakukan sesuatu perkara menjadi agenda kepada kebebasan manusia. Ini menjadikan perjuangan kepada kebebasan itu tersebar dan mengambil tempat yang selesa dalam persada awam global dan meresap ke dalam fabrik tempatan.

 

Tiada yang Salah Tentang Kebebasan dan Hak

Tiada yang salah tentang kebebasan atau hak asasi kerana keduanya merupakan antara sifat yang menjadikan manusia mampu mencapai tujuan atau matlamat penciptaannya. Manusia dicipta dengan nilai-nilai kebebasan. Janji Allah sebagai pencipta bahawa manusia itu adalah sebaik-baik makhluk ciptaan-Nya sebagaimana dinyatakan dalam maksud ayat suci al-Quran, dalam surah al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”. Justeru, tidak salah untuk kita terus memperjuangkan hak asasi atau kebebasan.

Walau apapun konsep kebebasan dan hak asasi itu perlulah mengekalkan kelangsungan sistem atau cara hidup Islami yang mementingkan akhlak mulia yang menjadi sebahagian daripada komponen agama. Cara hidup Islam itu dipenuhi dengan rangkaian hubungan antara tauhid, atau ketuhanan dan hubungan dengan Maha Pencipta, akhlak atau kemoralan dan muamalat atau hubungan sesama manusia.

Ajaran Islam walau bagaimanapun, tidak dapat dipisahkan daripada prinsip hak asasi. Kesemua hak asasi hendaklah disandarkan kepada ajaran agama Islam dan Allah adalah pencipta segala hak. Istilah, atau penggunaan frasa “hak asasi manusia di dalam Islam” saya katakan mengelirukan kerana dasar hak asasi di dalam kedua-dua sistem ini amat jauh berbeza kerana sistem hak asasi di dalam Islam tidak disandarkan kepada ideologi humanism, individualism dan rationalism sepertimana fahaman Barat.

Dasar atau sistem hak asasi di dalam Islam sentiasa kukuh disandarkan kepada wahyu Allah. Seterusnya sistem hak di dalam Islam ini digerakkan atas landasan yang disediakan oleh ajaran agama Islam yang sudah tentu memberi ruang kepada manusia untuk menjaga kepentingan mereka dan menggunakan logik akal dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja, bukan di dalam segenap aspek.

Perlu juga diulas di sini bahawa Islam mendasarkan hak asasi bukan sahaja kepada kehendak manusia semata-mata, tetapi Islam juga mementingkan kedudukan agama dan kerohanian. Keadaan ini menjadikan hak asasi di dalam Islam tidak semata-mata “hak asasi manusia” tetapi sebenarnya merangkum hak asasi agama itu sendiri dan meletakkan agama dan Pencipta sebagai tunggak hak asasi. Oleh itu hak asasi di dalam Islam dikategorikan sebagai hak manusia dan juga hak Allah.

 

Nilai Moral dan Agama dalam Masyarakat Malaysia

Dalam konteks cara hidup masyarakat Malaysia, nilai moral menjadi paksi kepada kelangsungan suatu tamadun yang berlandaskan agama dan budaya. Sekiranya nilai-nilai moral, agama dan budaya ini menjadi kabur dan luntur, kestabilan identiti, ideologi dan tamadun tersebut akan terjejas. Natijahnya, tamadun itu akan dipengaruhi dan seterusnya diambil alih oleh tamadun lain dan lama-kelamaan ia akan terhapus. Keadaan ini amat menggerunkan. Sekiranya nilai moral yang berasaskan agama dan budaya yang menjadi identiti masyarakat Malaysia tidak dijaga dan disuburkan, ia akan kabur, luntur dan ditakuti akan hilang kelangsungannya.

Masyarakat Malaysia terkenal dan terbukti sebagai sebuah masyarakat yang tinggi nilai moral, agama dan budaya, mempunyai jati diri yang tinggi serta adat resam dan amalan timur yang kental. Walaupun begitu, perkembangan semasa menyaksikan perubahan yang menyumbang kepada kelunturan nilai agama dan moral. Budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia sudah berubah dan berbeza. Walaupun perubahan sebegini adalah lumrah kerana bila masa berubah, situasi juga tentunya bertukar. Ia tidak harus menjadi kebimbangan sekiranya perubahan tersebut tidak membabitkan perkara-perkara asas dalam masyarakat yang mementingkan nilai moral, agama dan budaya. Tetapi, sekiranya perubahan tersebut mengancam kelangsungan nilai-nilai ini, ia adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian dan diberi tumpuan yang sewajarnya.

Hakikatnya, gelombang hak asasi liberal yang ditiup dari Barat menjadi cabaran kepada nilai moral, agama dan budaya di Malaysia. Gerakan hak asasi liberal yang memperjuangkan hak individu telah berusaha mengenepikan nilai moral. Keadaan ini akan mendatangkan kemudaratan.

 

Perundangan Malaysia Mengiktiraf Agama dan Nilai Moral

Dalam konteks perundangan, Perlembagaan, sebagai undang-undang dasar negara menyediakan perkara asas dan cara hidup bernegara, menjadikan agama, terutamanya agama Islam, sebagai perkara dasar dan pada masa yang sama, undang-undang tertinggi ini juga memberi penekanan kepada nilai-nilai moral.

Daripada sembilan Perkara yang diletakkan di dalam Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu Perkara-Perkara 5 hingga 13, mengenai Hak Kebebasan (lebih dikenali dengan ‘hak asasi’), dua peruntukan membenarkan Parlimen membuat undang-undang bagi menyekat hak asasi seseorang atau sesuatu kumpulan demi prinsip moral. Perkara-perkara tersebut ialah Perkara 10(2)(c) dan Perkara 11(5).

Perkara 10(2)(c) memberi kuasa kepada parlimen untuk membuat undang-undang yang menyekat hak menubuhkan persatuan sekiranya tujuan atau aktiviti kumpulan tersebut menjurus kepada perbuatan tidak bermoral. Manakala Perkara 11(5) pula tidak membenarkan hak kebebasan beragama yang bertentangan dengan moral. Peruntukan ini mengukuhkan lagi kedudukan moral di dalam Perlembagaan. Ini kerana, hatta hak kebebasan beragama, yang merupakan antara hak-hak yang asas, hak kebebasan boleh dinafikan sekiranya agama tersebut menganjur dan membenarkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan moral.

Oleh yang demikian, hak kebebasan hendaklah sentiasa mengambil kira nilai-nilai agama dan juga nilai-nilai moral. Hak kebebasan tersebut bukanlah hak mutlak yang boleh mengetepikan nilai-nilai agama dan moral yang telah sekian lama berakar umbi di dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu, perbuatan atau aktiviti yang bertentangan dengan nilai-nilai ini tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada hak kebebasan atau hak asasi yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan ia tidak patut dipertahankan.

Mungkin ada di antara masyarakat Malaysia yang masih menganggap persoalan kemoralan sebagai hak individu yang tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa, termasuklah pihak pemerintah. Anggapan ini tidak benar. Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi negara telah mengiktiraf nilai-nilai yang perlu wujud dalam negara ini. Walaupun tidak diberikan perincian yang khusus oleh Perlembagaan, dasarnya agak jelas dan semangatnya sangat pasti. Oleh yang demikian, ahli masyarakat hendaklah sentiasa menghormati asas dan nilai yang diperuntukkan di dalam undang-undang tertinggi tersebut.

Mungkin juga ada ahli masyarakat yang menganggap persoalan berkaitan moral adalah sesuatu yang subjektif. Ada juga yang berhujah bahawa apa yang moral pada saya mungkin tidak bermoral kepada orang lain, atau sebaliknya. Namun, dalam masyarakat Malaysia yang beragama dan berbudaya, apa yang dikatakan tidak bermoral ialah apabila suatu cara, watak atau tingkah laku itu adalah bertentangan dengan nilai agama atau nilai budaya yang diterima oleh masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, hubungan sejenis bukanlah suatu kebebasan atau bukan suatu hak yang patut dipertahankan. Ini kerana perbuatan seperti ini amat jelas bertentangan dengan nilai agama dan juga budaya masyarakat Malaysia. Malah, ia juga merupakan perlakuan jenayah yang disebut di dalam Kanun Keseksaan dan juga di dalam undang-undang jenayah Syariah.

Sebagai sebuah negara merdeka yang telah lama berdiri di atas dasar nilai moral, agama dan budaya, Malaysia tidak patut digesa untuk menerima dan mengiktiraf secara sembarangan sesuatu yang dilabelkan sebagai hak kebebasan atau hak asasi. Negara ini harus diberi hak untuk menolak perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai moral, agama dan budaya yang telah sekian lama menjadi dasar dan ideologi negara ini. Apatah lagi Malaysia mempunyai perundangannya yang tersendiri. Justeru, Malaysia hendaklah diberikan kebebasan membuat acuan sendiri berkaitan hak kebebasan tanpa pengaruh atau tekanan orang asing.

Warga Malaysia juga perlulah sedar bahawa kebebasan dan hak asasi itu, walaupun mempunyai nilai sejagat, tidak semestinya sentiasa sepadan dengan nilai yang diamalkan di sini atau identiti yang menjadi ciri utama masyarakat Malaysia. Ditambah lagi dengan hakikat bahawa tidak ada kata sepakat mengenai skop atau ruang lingkup kebebasan dan hak asasi. Oleh itu, pada saya, sistem nilai dalam masyarakat Malaysia hendaklah sentiasa dijadikan teras di dalam menentukan cara hidup individu dan juga bernegara.

Masyarakat dan pembuat dasar negara perlu mengenali dan mengekalkan nilai-nilai dan tidak mengambil mudah tentang kepentingan nilai-nilai agama, akhlak dan budaya walaupun terpaksa menongkah arus globalisasi yang kononnya membawa nilai yang dikatakan mempunyai sokongan sejagat.

Nilai-nilai yang kita ada perlu diperteguh menerusi kepercayaan kepada diri sendiri dan jangan sesekali hilang keyakinan kepada diri sendiri dengan melihat apa yang ada pada orang lain lebih baik daripada yang kita punyai tanpa menghargai kebaikan dan kelebihan diri sendiri.

 

Teori Universalisme Perlu Keseimbangan dengan Perundangan dan Nilai dalam Negara

Perundangan kita tidak menerima teori universalime walaupun keinginan untuk segelintir warga kita yang mahukan negara menerima teori universalisme atau sejagat dalam hal hak asasi.

Teori universalisme hak asasi ialah teori yang mempromosi idea bahawa hak asasi perlu diseragamkan di serata dunia. Di dalam teori universalisme ini tiada penerimaan kepada keadaan setempat; tidak mementingkan kepercayaan ‘agama’; tidak ada istilah ‘nilai’ atau ‘norma’ dan budaya. Ia adalah teori ciptaan manusia berdasarkan fikiran dan kehendak mereka sendiri dan merupakan hasil pemikiran Barat dan membentuk penjajahan Barat ke atas dunia Timur.

Dari segi pemakaian, kekuatan teori sejagat ini mampu melobi kefahaman mereka di peringkat antarabangsa. Kerana itu, teori ini dianggap sejagat.

Sebahagian besar daripada kita amat maklum bahawa prinsip dan amalan hak asasi Barat adalah bias atau tidak adil; segala isi hak asasi itu ditentukan Barat. Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan triti-triti berkaitan hak asasi dipengaruhi secara penuh oleh puak Barat. Kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai badan pengawas hak asasi juga sememangnya dipelopori Barat.

Kini, di peringkat antarabangsa, sebarang ketidakpuasan hati mana-mana pihak terhadap pelaksanaan hak asasi boleh dibentangkan dalam beberapa proses PBB. Walaupun begitu, proses tersebut tidaklah begitu terbuka dan pihak-pihak yang mahu menyampaikan pandangan tentang hak asasi perlu melalui kepayahan melobi sebelum dibenarkan membuat apa-apa pembentangan atau menyampaikan apa-apa cadangan dan pandangan kepada jawatan kuasa berkaitan hak asasi di peringkat PBB. Dalam negara, suara kita masih lagi padu menyokong perundangan negara dan masih lagi boleh berhujah dengan teori relativisme, iaitu teori yang memberikan keutamaan kepada nilai tempatan. Kita hendaklah berusaha membawa suara ini kepada PBB.

Secara teorinya, kita sentiasa boleh berhujah bahawa kita menerima hak asasi dalam konteks relativisme yang mempunyai dua pendirian utama: Pertama, relativisme yang ketat, iaitu tidak ada hak asasi manusia sejagat atau universal. Dan, semua kepercayaan atau agama dan nilai adalah budaya relatif, berkaitan dengan kesesuaian tempatan. Maka hak asasi hendaklah setiap masa bersandarkan kepada kepercayaan dan nilai tempatan.

Dalam teori relativisme yang kedua, ia lebih longgar daripada yang pertama. Relativisme ini menerima prinsip hak asasi sejagat, tetapi pada masa sama menerima kemungkinan adanya persamaan dan perbezaan antara nilai tempatan dengan nilai sejagat. Dengan itu nilai tempatan diberikan tempat dalam menerima dan melaksana hak asasi, tetapi pada masa sama meraikan kesejagatan prinsip hak asasi.

Kita mungkin boleh menghujah menggunakan kedua-dua aspek dalam teori relativisme ini untuk Malaysia di peringkat PBB. Namun begitu, kita perlu lalui proses melobi di PBB dan dari segi realitinya ia amat sukar. Oleh itu, peranan Badan-Badan Bukan Kerajaan (                NGO) yang percaya kepada teori relativisme ini amat besar. Usaha ini hendaklah dijana dengan lebih berkesan; kita perlu ke peringkat PBB. Tidak lagi memadai untuk kita sekadar bersuara dalam negara dan kita hendaklah bersatu dan belajar mencontohi antara satu sama lain.

 

 

Penghakisan Nilai Mulia

Perkembangan terbaharu mengenai hak asasi di dalam dunia moden tanpa sempadan ini sebenarnya menghakis nilai mulia yang ada di dalam agama dan budaya. Sifat hak asasi ciptaan Barat ini lebih mementingkan diri sendiri dan mengajar masyarakat lebih mengutamakan diri sendiri tanpa menghiraukan nilai-nilai yang telah lama tertanam di dalam jiwa dan raga kita.

Sudah terserlah bahawa ‘orang luar’ sedang mengajar kita tentang apa sebenarnya nilai agama dan budaya yang kita ada. Mereka juga, atas alasan sejagat atau universal, cuba merubah jati diri kita. Keadaan ini tidak harus berlaku. Kita hendaklah memahami dan mendalami apa yang kita ada tanpa disusun atur oleh orang lain mengenai kepercayaan dan keimanan kita.

Saya tidak bermaksud untuk menyuruh para pembaca menutup mata dan telinga mengenai apa yang berlaku di keliling kita atau membentuk sifat enggan mendengar. Apa yang saya maksudkan di sini ialah, kita harus mengenali diri kita, memahami agama kita, mencari dan mempertahankan kekuatan kita serta berpegang dan berpaut pada nilai yang ada tanpa menunggu orang lain mengajar kepada kita nilai-nilai kita sendiri.

Selain daripada itu, kita bukan sahaja harus mengukuhkan nilai dan menegaskan identiti diri sendiri, tetapi pada masa yang sama, kita juga harus belajar untuk menilai dengan kritis dan wibawa mengenai nilai-nilai lain. Ini membolehkan kita memahami dan menghargai kekuatan yang ada pada diri sendiri dengan lebih bermakna.

Dalam melakukan ini, kita haruslah dapat mencipta pautan yang jelas dan kukuh mengenai kelebihan yang ada dalam diri kita. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada tiga kelompok tamadun utama, iaitu tamadun Melayu, Cina dan India tidak seharusnya membiarkan sahaja sebarang angkara yang boleh meruntuhkan nilai-nilai dan identiti kita secara sewenang-wenang.

 

Hak Asasi dalam Islam Tak Sama Fahaman Barat

Suatu keadaan yang sukar kepada orang-orang Islam ketika ini ialah mereka menurut sahaja tamadun atau fahaman Barat. Tamadun atau fahaman Barat yang saya maksudkan di sini ialah tamadun atau fahaman yang mementingkan materialisme dan meninggalkan nilai-nilai keagamaan dan kerohanian.

Masyarakat Islam yang gagal memahami nilai yang ada di dalam Islam ini cuba mengadaptasikan ajaran Islam kepada fahaman Barat tersebut. Mereka cuba mencari titik pertemuan antara falsafah Islam dan Barat. Malah ada ketikanya keadaan menjadi lebih teruk setelah golongan Islam ini cuba menggantikan sistem Islam dengan sistem Barat. Keadaan ini melahirkan situasi mengambil hati, mengagung-agungkan nilai Barat dan hasilnya membuahkan sikap diplomatik dan apologetik orang-orang Islam terhadap Barat walaupun Islam merupakan sebahagian daripada fabrik masyarakat dunia.

Sikap sebegini amat jelas dalam hal-hal berkaitan hak asasi yang mana nilai-nilai hak asasi Barat dikagumi dan diagung-agungkan oleh orang-orang Islam. Ramai para akademik Islam yang berusaha mencari-cari sumber hak asasi Islam yang boleh diselaraskan atau diserasikan dengan nilai-nilai hak asasi Barat. Sikap ini menjadikan mereka menjadi terlalu berdiplomasi dan apologetik terhadap Barat mengenai hak asasi, walaupun sesuatu perlakuan itu sememangnya tidak mempunyai asas di dalam ajaran Islam.

Dalam keadaan keliru, ramai intelektual Islam menggunakan terma “hak asasi manusia” yang disandarkan kepada “Islam” yang seterusnya membentuk frasa “hak asasi manusia di dalam Islam”. Frasa ini mengelirukan menurut Islam kerana falsafah hak asasi manusia yang disandarkan kepada Barat tidak meletakkan ketuhanan atau agama sebagai kayu pengukur.

Falsafah hak asasi Barat, seperti yang disebut oleh John Locke, adalah bebas daripada tuhan dan bebas daripada ajaran tuhan. Locke di dalam “The Two Treatises on Government” berkata, “men by nature are all free, equal and independent, no one can be put out of this estate subjected to the political power of another without his own consent”. Keseluruhan ajaran hak asasi manusia natijah promosi Barat menjadikan keperluan manusia (humanism), kepentingan individu ( individualism) dan taakulan logik (rationalism) sebagai dasar hak asasi.

Sekiranya dilihat kepada dua dokumen induk hak asasi tajaan Barat, iaitu Universal Declaration of Human Rights dan juga International Covenant on Civil and Political Rights, hak asasi yang disenaraikan dengan jelas tidak mempunyai sebarang pertalian dengan agama. Malangnya, kedua-dua dokumen ini menjadi kayu pengukur kepada kedudukan hak asasi di dunia. Lebih malang lagi, masyarakat Islam sendiri menganggap dokumen-dokumen ini adalah sumber kepada hak asasi sejagat!

Kegagalan memberi gambaran sebenar mengenai falsafah dan kedudukan hak-hak di dalam Islam akan menghasilkan fahaman yang salah berkaitan hak di sisi Islam. Ia seolah-olah memberikan gambaran bahawa Islam mempunyai pandangan yang sama berkaitan tujuan penciptaan manusia sebagai makhluk di muka bumi ini, sedangkan Islam menggariskan tujuan kehidupan yang berbeza. Sebagai contoh, hak asasi yang disandarkan kepada logik akal tidak akan mengiktiraf kedudukan agama dan tidak dapat melihat sekatan terhadap perbuatan untuk menukar agama. Begitu juga sekatan-sekatan yang perlu terhadap hak kebebasan bersuara dan berpendapat.

Perbezaan falsafah hak asasi yang amat perlu dibincangkan termasuklah tujuan kehidupan, perkara-perkara berkaitan sumber hak di dalam Islam, jenis-jenis hak dan juga tujuan sesuatu hak di dalam Islam. Ini kerana perkara-perkara ini merupakan perkara dasar yang melatari perbincangan mengenai hak asasi dan seterusnya akan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai kedudukan hak asasi di dalam Islam dan meletakkan hak asasi menurut perspektif Islam ditempat yang berbeza daripada hak asasi dalam perspektif Barat.

Disedari atau tidak, penyebaran faham hak asasi yang bersandarkan kefahaman manusia, sudah berada di arus perdana. Penyebarannya semakin keras dan deras. Tidak ada yang salah tentang hak asasi. Ia adalah keperluan asas setiap individu. Namun, ia menjadi salah sekiranya tiada elemen ketuhanan dan hanya mementingkan kehendak manusia. Perlembagaan kita merangkum hak asasi di bawah tajuk kebebasan asasi. Walaupun ada beberapa perbezaan dari segi maksud dan istilah yang digunakan, iaitu “kebebasan” dan “hak” tetapi secara dasarnya kita tidak boleh membuat kenyataan umum bahawa Perlembagaan kita tidak menjamin hak asasi.

Ini kerana implikasi kepada peruntukan berkaitan kebebasan asasi sebagaimana ada dalam perlembagaan itu menjadikan hak-hak asasi perlu dijaga, dijamin dan dilaksana kepada setiap yang berhak mengikut kesesuaian perundangan negara.

Dalam aspek perundangan, negara kita masih berpegang dengan kukuh kepada nilai-nilai agama dan budaya dalam hal berkaitan hak asasi. Oleh itu, secara akademik, dalam teori hak asasi, kita menerima pakai teori relativisme, iaitu satu teori yang menerima elemen tempatan, termasuk agama dan nilai budaya serta moral.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *