Home » Langit Terbuka » Kelantan bendung pengaruh Daesh

Kelantan bendung pengaruh Daesh

Pastikan pelajar pondok tidak ekstrem

KOTA BHARU 11 Mei – Kerajaan Pas Kelantan ya­kin kandungan kurikulum dan pengisian institusi pondok di negeri ini tidak mempunyai elemen yang mempengaruhi pelajarnya kepada fahaman terpesong seperti pengaruh kumpulan militan Daesh.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, institusi pendidikan tradisional di negeri ini dipantau oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Ahmad berkata, pihaknya juga memantau perkembangan pelajar yang menyambung pengajian ke luar negara seperti Indonesia, Mesir dan Jordan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia.

“Kalau kita mengikut tuntutan Islam yang sebenar, pelajar tidak akan jadi ekstrem dan mengambil tindakan tidak bertanggungjawab kerana pondok sebenarnya mendidik pelajar berakhlak baik.

“Kita pantau pondok di bawah YIK dan Maik untuk memastikan mereka patuhi syarat ditetapkan. Kalau ada pelajar pergi ke luar negara dan terjebak dengan Daesh, itu bukan daripada kita,” katanya selepas majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah, Pondok Beta Hilir, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abd. Rahman Yunus; Pengetua Pondok Beta Hilir, Mohd. Jalaludin Assayuti Mohamed dan Penasihat Jawatankuasa Pembangunan Pondok Beta Hilir, Datuk Abdul Rahim Hasan.

Dalam majlis itu, Ahmad turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM30,000 untuk pembinaan bangunan baharu setinggi dua tingkat tersebut.

Sementara itu, Mohd. Jalaludin berkata, Pondok Beta Hilir yang diasaskan pada 1966 mempunyai 125 pelajar lelaki dan 45 pelajar perempuan sepenuh masa.

Beliau berkata, bangunan baharu yang didirikan itu bakal menempatkan pusat asuhan kanak-kanak di aras bawah manakala rumah tumpangan pada aras dua yang menjadi sumber pendapatan pondok pada masa depan.

“Bangunan ini bakal didirikan di atas tanah wakaf seluas sete­ngah ekar (2,023 meter persegi) dengan anggaran kos pembinaan lebih RM400,000,” katanya.

Katanya, sumbangan orang ramai boleh disalurkan kepada Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir menerusi akaun Bank Muamalat 03010002364711 atau Bank Simpanan Nasional 0355041000016161. – https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *