Home » Langit Terbuka » Kelonggaran mohon sijil halal

Kelonggaran mohon sijil halal

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran memberi kelonggaran kepada usahawan bumiputera Islam untuk memohon sijil halal bagi produk mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bahagian Hab Halal Jakim perlu meneliti perkara itu kerana bilangan usahawan beragama Islam yang memiliki sijil halal hanya 32 peratus iaitu 2,290 syarikat di seluruh negara.

“Kita menyedari usaha yang dilakukan pihak Jakim dalam meluluskan setiap permohonan sijil halal, namun agensi tersebut perlu mengambil kira kekurangan yang dialami oleh syarikat usahawan bumiputera yang baharu memulakan perniagaan.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai banyak kekurangan modal dan kekangan fizikal seperti bangunan serta mesin bertek­nologi tinggi namun jika pemilik dan para pekerjanya adalah 100 peratus beragama Islam, diharap Jakim boleh mempertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2016 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC) Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Penaung Halfest iaitu anakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Lela Manja, Pahang Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Penasihat Halfest, Datuk Seri Mohd. Sharkar Samsuddin.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Keusahawanan Desa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datin Seri Elena Chiang Abdullah; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Dalam pada itu Sirajuddin berkata, punca utama usahawan Islam menghadapi pelbagai kesukaran memohon sijil halal Jakim adalah kerana kebanyakan daripada mereka mendapatkan bantuan perkhidmatan agensi penasihat luar.

Katanya, agensi penasihat luar akan mengenakan kos bayaran yang terlalu tinggi hingga mencecah ribuan ringgit bagi setiap permohonan.

“Hakikatnya, kos untuk memohon sijil halal hanya RM200 bagi tempoh dua tahun dan para usahawan boleh terus ke pejabat Jakim untuk memohon sijil ini.

“Selain itu, Jakim turut me­ngadakan pelbagai program bagi membantu para usahawan memohon sijil halal termasuk menyediakan klinik di pameran untuk menjawab kesemua persoalan mengenai perkara ini,” katanya.

https://www.utusan.com.my/berita/nasional

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *