Home » Persuasif » Keluarga bahagia dan keluarga yang nampak bahagia

Keluarga bahagia dan keluarga yang nampak bahagia

sumber

Untuk memahami perbezaan antara keluarga bahagia dan keluarga yang nampak bahagia, kita perlu membaca kisah keluarga David dan Laura ini terlebih dahulu. Mungkin kita pernah mendengar kisah ini. Sebuah kisah tentang keluarga yang nampak bahagia.

David dan Laura, isterinya, dikenali oleh masyarakat umum sebagai keluarga yang bahagia. Pasangan serasi ini tinggal di sebuah desa yang jauh dari kesibukan kota. Selama enam puluh tahun berumahtangga, belum pernah mereka bertengkar atau mengalami konflik yang berpanjangan.

Ramai yang memuji kehidupan pernikahan mereka yang kelihatan amat indah dan bahagia. Malah ada juga yang iri hati terhadap keharmonian yang terbina dalam keluarga mereka. Kehidupan keluarga David dan Laura yang menginspirasikan, telah menyebabkan sebuah Tabloid Nasional mewawancara David mengenai rahsia pernikahan bahagia mereka.

Lalu pada ketika itu, David pun membuka rahsia pernikahan mereka. Kata  David: “Peristiwa ini terjadi 60 tahun yang lalu. Ketika itu kami sedang berbulan madu. Kami berdua sedang menunggang kuda melewati sebuah kebun anggur yang luas. Tiba-tiba kuda yang ditunggang Laura tersadung sehingga menyebabkannya terjatuh. Tetapi Laura segera bangkit dengan wajah yang gembira dan tidak marah. Hanya satu perkataan yang meluncur dari mulutnya: “SEKALI”.

Lalu dia pun kembali menunggang kudanya. Beberapa minit kemudian, kudanya tersadung lagi dan Laura jatuh buat kali kedua. Tetapi dia tetap bangkit dengan wajah yang tersenyum. Dia hanya berkata, ”DUA KALI”.

Saya kagum dengan sikapnya yang sabar itu. Sebaik sahaja kami kembali ke villa tempat kami menginap, kuda yang ditunggang Laura tersadung lagi  dan membuatkannya jatuh untuk kali ketiga. Namun, Laura tetap menunjukkan wajah yang menyenangkan. Tapi kali ini dia mengeluarkan pistol dari dalam beg tangannya, dan menyebut, “DOORR !!!” Dia menembak mati kuda tersebut.

Saya sangat terkejut dengan reaksinya itu, dan langsung membentak dengan keras. “Hei, apakah kamu sudah gila? Kenapa kamu menembak kuda itu? Itu bukan kuda kita!” Laura menatap saya dengan wajah yang lembut, dan hanya mengucapkan satu perkataan, ”SEKALI”.

Sejak hari itu, kami tidak pernah sekalipun bertengkar, dan itulah rahsia bagaimana pernikahan kami mampu bertahan dengan aman selama enam puluh tahun ini…”

Fahamkah kita dengan kidah David dan Laura itu? Bermakna David selama ini berusaha menahan diri dari marah atau memarahi Laura kerana amat memahami sikap Laura yang pantang menghadapi tekanan atau apa-apa situasi yang boleh menimbulkan kemarahannya. Tindakannya sangat drastik dan menakutkan.

Kisah imaginasi tentang keluarga David dan Laura di atas menggambarkan sebuah kehidupan yang nampak bahagia. Seringkali kita tertipu dengan penampilan orang yang kelihatan tenang dan bahagia, padahal kita tidak tahu apa yang ada di sebalik penampilan tersebut.

Saya sering menemui keluarga yang dipuji dan dipuja ramai orang, dijadikan contoh teladan dan inspirasi oleh masyarakat, sedangkan mereka menyimpan banyak persoalan pelik.

Dalam kehidupan keseharian, semua orang mendambakan keluarga yang harmoni dan bahagia. Namun lazimnya, keinginan untuk bahagia itu hanyalah sekadar mampu dicapai dalam mimpi sahaja. Mereka ingin bahagia, namun tidak berupaya menempuh jalannya. Mereka ingin bahagia, namun hanya mengharapkan pasangan membahagiakan dirinya, tanpa berusaha memberikan yang terbaik bagi pasangannya.

Keluarga bahagia terdiri daripada pasangan yang saling menghormati antara satu sama lain. Suami dan isteri berinteraksi secara positif dalam kehidupan seharian dan saling memberikan yang terbaik kepada pasangannya. Mereka tidak hanya menuntut hak dari pasangan, tetapi lebih mendahulukan kewajiban terhadap pasangan. Mereka saling menghargai satu sama  lain, dan tidak meremehkan kehormatan pasangan.

Keluarga bahagia menyedari bahawa mereka memiliki banyak kekurangan dan kelemahan. Oleh sebab itu, mereka selalu berusaha untuk memperbaiki diri bersama pasangan. Mereka menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna. Setiap dari kita memilik kekurangan. Mereka tidak menuntut kesempurnaan pasangan, sebaliknya saling menerima kondisi pasangan seadanya. Mereka juga tidak mudah berasa kecewa atas kekurangan dan kelemahan yang ada pada pasangannya.

Keluarga bahagia selalu berfikiran positif dan berprasangka baik terhadap pasangan. Suami dan isteri saling mempercayai dan setia. Mereka tidak menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan oleh pasangan sehingga berlaku curang. Mereka mampu menjaga diri dari godaan walaupun kadang-kala terpaksa berpisah daripada pasangan kerana tuntutan kerja.

Keluarga bahagia mendasarkan seluruh aktiviti mereka bagi mencapai redha Allah SWT sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka menyedari bahawa kebahagiaan hakiki tidak akan diperolehi sekiranya menyimpang daripada ajaran agama Islam. Kebahagiaan hakiki bermula daripada ketaatan kepada Allah dan Nabi,  dengan melakukan kebaikan setiap hari. Untuk itu, mereka saling memperbanyakkan ibadah dan berusaha menjadikan keluarga Rasulullah SAW sebagai tauladan utama.

Keluarga bahagia mampu menyelesaikan setiap persoalan dan konflik di antara mereka dengan kaedah dan formula yang sesuai.  Oleh sebab itu, konflik yang timbul tidak akan mampu menggugat keutuhan dan keharmonian keluarga mereka, kerana berjaya diselesaikan dengan cepat dan tepat.

Suami dan isteri akan segera duduk berbincang dan mencari penyelesaian, bersikap saling memaafkan serta saling merelakan. Suasana bahagia yang mereka miliki akan memancarkan aura kebahagiaan yang mudah dilihat oleh orang-orang di sekitar mereka.

Dengan itu, mereka menjadi keluarga yang bahagia, dan nampak bahagia pula pada pandangan orang-orang yang melihatnya. Bukan keluarga yang pura-pura bahagia. Bukan keluarga yang bersandiwara menampakkan kebahagiaan, padahal di dalamnya rapuh dan penuh ketegangan.

Cahyadi Takariawan
Penulis Buku Serial “Wonderful Family”;
Peraih Penghargaan “Kompasianer Favorit 2014”; Konselor di “Rumah Keluarga Indonesia” (RKI) dan “Jogja Family Center” (JFC)

Terjemahan sumber daripada https://www.kompasiana.com/pakcah/keluarga-bahagia-dan-keluarga-yang-tampak-bahagia_564bb2a88f7a6164048b456e

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *