Home » Citra Yadim » Keluarga Razali Awang diumumkan penerima Anugerah Keluarga Mithali

Keluarga Razali Awang diumumkan penerima Anugerah Keluarga Mithali

 

Pemenang Anugerah Ibu Mithali, Hitam Abu (berkerusi roda)
Pemenang Anugerah Bapa Mithali, Yusuf Mohd Karim.,
Pemenang Anugerah Pewaris Harapan, Nurul Eeman Mansor

PUTRAJAYA 27 Feb. – Keluarga Razali Awang, 72, dari Kuala Terengganu diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali pada Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2017 yang diadakan di Hotel Mariott, Putrajaya malam tadi.

Dalam program yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu, keluarga berkenaan mengalahkan dua lagi keluarga yang tersenarai sebagai finalis bagi menerima anugerah berkenaan iaitu keluarga Haji Talibin Md Yasssin dari Johor dan keluarga Che Ishak Mohd Shuib dari Kedah.

Dengan kemenangan itu, Razali menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan hadiah-hadiah iringan yang disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Anugerah Keluarga Mithali 2017 adalah edisi kedua penganugerahan berkenaan sejak kali pertama dianjurkan pada 2014.

Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada program Anugerah Ibu Mithali yang diadakan oleh YADIM sejak 1980.

Selain Anugerah Keluarga Mithali, tiga lagi kategori turut dipertandingkan iaitu Anugerah Bapa Mithali, Anugerah Ibu Mithali dan Anugerah Pewaris Harapan dengan masing-masing turut menampilkan tiga finalis.

Anugerah Bapa Mithali dianugerahkan kepada seorang bekas guru, Yusuf Mohd Karim, 72, dari Muar, Johor menewaskan dua finalis iaitu Mohd Rusad Tibuk, 73, dari Johor dan Mohd. Asarani Mohd Rasikin dari Selangor.

Sementara itu, Hitam Abu ibu kepada 11 anak dari Melaka diumumkan sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali mengalahkan dua lagi finalis iaitu Rakiah Harun, 75, dari Perak dan Wan Safiah Wan Daud, 65, dari Kelantan.

Pemenang bagi kedua-dua kategori Bapa Mithali dan Ibu Mithali masing-masing menerima hadiah wang tunai RM40,000 dan hadiah-hadiah iringan yang lain.

Sementara itu, seorang gadis bercita-cita tinggi, Nurul Eeman Mansor, 20, menerima Anugerah Pewaris Harapan untuk menerima hadiah RM30,000 dan hadiah-hadiah iringan yang lain.

Gadis yang kini menuntut di Universiti Teknologi Shah Alam dalam jurusan undang-undang ini, telah menunjukkan pencapaian yang begitu cemerlang antaranya termasuk Junior Ambassador kepada Staedler (M) dan pernah memenanangi pertandingan melukis anjuran NASA serta menjadi Ikon Remaja untuk Masjid al-Ghufran, Taman Tun Dr. Ismail.

Turut tersenarai sebagai finalis bagi kategori Anugerah Pewaris Harapan ialah Nurul Husna Nur ‘Izzat, 22, dan Noor ‘Amalina Sarippuddin, 25.

Para finalis untuk semua kategori menerima hadiah wang tunai RM15,000 serta hadiah-hadiah iringan yang lain.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *