PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemerdekaan yang dikecapi negara ketika ini bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh.
Mengingatkan kembali pesanan tokoh-tokoh negara, Perdana Menteri berkata, untuk membinanya dari sejarah robohan bermula sejak zaman keruntuhan kota Melaka, ia menanam di jiwa dan pemikiran, bahawa seluruh rakyat tanpa mengira kaum harus bersatu.
“Bukan bersatu kaum atau daerah dan wilayah saja, tetapi bersatu setiap dan segenap baka. Maknanya segenap orang Melayu tentunya yang majoriti, sebagai induk.
“Sejarah kita bukan semestinya bermula 1511, tetapi tarikh itu adalah robohnya empayar Melayu Islam Melaka. Sebelum itu, ada tamadun yang agung dan mulia, yang menyebabkan hebatnya lingua franca Melayu dan kekuatan Islam di rantau ini.
“Kita bergerak, pimpinan silih berganti, peranan tokoh-tokoh dan negarawan ulung. “Pemimpin-pemimpin kita menghadapi liku-liku, dengan berani dan mengajak seluruh rakyat bersatu, bermuafakat, menjaga amanat dan janji perisytiharan kemerdekaan, dan membina semula selepas robohan Kota Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta lebih 3,000 hadirin.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sejarah membuktikan, ketika banyak negara berpecah satu ketika dulu, penubuhan Malaysia menyaksikan penyatuan tiga wilayah.
“Semasa Merdeka 1957, kalau tengok, teliti liputan media asing, mereka tidak percaya Malaya atau Tanah Melayu pada ketika itu mampu bertahan dan merangkul kekuatan semua kaum. Kerana pengalaman di banyak negara-negara Asia Afrika, Latin Amerika, berkecai.
“Tetapi kita buktikan, kita boleh bertahan. Bukan tidak ada tragis dan tragedinya, tetapi kita bertahan. Malah, dengan wawasan besar pemimpin, negarawan pada ketika itu, bersama tokoh-tokoh besar dari Sarawak dan Sabah, mereka melangkah satu tapak ke depan yang jarang berlaku dalam sejarah dunia.
“Yugoslavia jadi tiga, Pakistan jadi dua, India jadi tiga, jadi dua, jadi satu. Malaysia dari satu, sekarang bergabung tiga kekuatan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.



KOMEN