Home » Citra Yadim » Keningau lokasi tepat Kembara Malaysia Rahmah

Keningau lokasi tepat Kembara Malaysia Rahmah

KENINGAU – Pemilihan Keningau sebagai lokasi penganjuran Kembara Malaysia Rahmah 2019 Peringkat Negeri Sabah dilihat tepat kerana mampu memberi penerangan kepada penduduk di kawasan ini mengenai gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat  Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, dengan mengadakan program di kawasan ini, masyarakat luar bandar di sini boleh mengambil bahagian dalam program yang diatur selain menerima penjelasan berhubung gagasan berkenaan

“Saya gembira sebab pelaksanaan program tidak diadakan di pekan Keningau saja, tetapi juga di luar bandar dan kampung kampung di sini. Justeru, maklumat yang dibawa kerajaan dapat sampai kepada mereka.

“Saya harap YADIM selepas ini bawa lebih banyak program seperti ini ke Sabah bagi menjelaskan lagi mengenai Rahmatan Lil Alamin,” kata beliau dalam majlis Perasmian Kembara Malaysia Rahmah 2019 Peringkat Negeri Sabah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini (22 November).

Antara yang hadir ke majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Menteri Luar Bandar Sabah, Yang Berhormat Rasinin Koutis, Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, Pegawai Daerah Keningau, Hassan Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Sabah, Saifulzaman @ Setibin Sanggul, dan Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Undang Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Yang Berhormat Datuk Aidi Moktar.

Kembara Malaysia Rahmah 2019 Peringat Negeri Sabah diadakan di sini selama dua hari bermula hari ini hingga esok. Ia mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Radio Televisyen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat.

Terlibat sama ialah Pejabat Daerah Keningau, Badan Dakwah Daerah Keningau, Majlis Daerah Keningau, Hospital Keningau, Sekolah Henry Gurney, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) serta banyak lagi.

Antara pengisiannya termasuklah Ziarah Rahmah di Hospital Keningau, Ziarah Kasih di Sekolah Henry Gurney, Cuci Cuci di Masjid Somad Al Mukhlisin, Kampung Bariawa, Ulu Keningau, Forum Rahmatan Lil Alamin, sesi senaman, pameran dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada YADIM serta semua pihak yang terlibat menjayakan penganjuran kembara rahmah ini.

Zolkharnain pula dalam ucapan aluannya sebelum perasmian berkata, antara mesej utama yang ingin dibawa dalam kembara ini ialah kasih sayang dan rahmah yang merentasi latar belakang.

Menurut beliau, YADIM ingin menjelaskan kepada semua, Islam itu membawa rahmah ke seluruh alam.

Katanya lagi, YADIM juga berperanan menangkis salah faham yang sering timbul dalam Islamophobia.

“Kami ingin jelaskan, Islam itu agama yang bukan disebarkan secara kuku besi, sebaliknya ia sentiasa menghulurkan tangan persahabatan,” ujarnya.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *