Home » Muamalah » Kepenggunaan wasatiyyah

Kepenggunaan wasatiyyah

Foto : www.rd.com

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

Dr. Mohd Shukri Hanapi adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

Penggunaan merupakan peringkat terakhir setelah selesai aktiviti pengeluaran dan pengagihan. Masyarakat yang telah sebati dengan suasana ekonomi moden tidak terdaya untuk menghadapi aliran penawaran barangan dan perkhidmatan yang semakin berleluasa di pasaran. Suasana ini sebenarnya mengundang kecenderungan perbelanjaan masyarakat yang sukar dikawal sehingga berlaku masalah pembaziran, berlumba-lumba mengejar status, budaya berhutang yang tinggi, muflis, inflasi seterusnya mencetuskan pelbagai sosioekonomi.

Misalnya, masalah pembaziran makanan oleh rakyat Malaysia bernilai RM4.4 trilion setahun; hutang yang tinggi sebagaimana Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI) yang mendapati hampir 68 peratus rakyat Malaysia dibebani hutang dan meletakkan Malaysia dalam kelompok lapan pasaran negara di Asia yang mempunyai kadar hutang isi rumah yang tinggi; dan isu muflis sebagaimana rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 97,215 kes muflis dicatatkan di negara ini sepanjang tempoh 2012 sehingga September 2016. Daripada jumlah itu, sebanyak 22,581 kes, atau 23 peratus, membabitkan kategori dewasa muda, atau Gen Y, yang berumur antara 25 hingga 34 tahun diisytiharkan muflis, selain sebanyak 1,157 kes membabitkan mereka berumur di bawah umur 25 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir sebagaimana yang dilaporkan dalam Berita Harian (16 September 2016), antara sebab utama muflis kerana gagal melunaskan pinjaman sewa beli kenderaan membabitkan 26,801 kes, atau 27.6 peratus, disusuli pinjaman peribadi 22,153 kes, atau 22.8 peratus dan pinjaman perumahan 18,819 kes, atau 19.4 peratus. Hal ini berpunca daripada kegagalan merancang kewangan dengan baik. Meskipun rumah dan kenderaan itu suatu keperluan, namun para pengguna patut mengambil kira kemampuan dan pendapatan mereka.

Bagi sistem ekonomi liberal kapitalis yang diguna pakai secara meluas pada ketika ini, membelanjakan pendapatan yang diperoleh bagi tujuan memaksimumkan kepuasan material merupakan sesuatu yang rasional dan sangat digalakkan. Hal ini kerana kemajuan diukur dengan penggunaan utiliti material yang maksimum. Semakin tinggi kadar kepenggunaan utiliti material, semakin tinggilah tahap kemajuan. Meskipun begitu, penggunaan maksimum bagi mencapai kepuasan material sebegini boleh menimbulkan kesan negatif seperti yang dinyatakan sebelum ini. Perkara ini berlaku apabila para pengguna yang berpendapatan rendah terpaksa berhutang untuk memaksimumkan penggunaan utiliti material mereka.

Dalam keadaan Kerajaan Malaysia berusaha merealisasikan konsep wasatiyyah, bentuk kepenggunaan yang berdasarkan konsep wasatiyyah itu patut dibina. Persoalannya, bagaimanakah bentuk kepenggunaan berdasarkan konsep wasatiyyah? Apakah ukurannya juga berasaskan kepenggunaan utiliti yang maksimum seperti dalam sistem ekonomi liberal kapitalis yang diamalkan di Malaysia ataupun terdapat ukuran yang khusus hingga melahirkan satu bentuk kepenggunaan-wasatiyyah yang unik?

Setakat ini belum ada model kepenggunaan-wasatiyyah yang diperkenalkan atau dilaksanakan berasaskan sumber epistemologi dan tasawur Islam yang terdiri daripada dalil-dalil naqli dan dalil-dalil ‘aqli. Meskipun konsep kepenggunaan Islam telah dibincangkan, namun ia terhad kepada konsep kepenggunaan dalam ekonomi Islam; konsep kepenggunaan mengikut syariat; dan konsep fiqh kepenggunaan Islam.

Dari sudut pelaksanaan pula, kepenggunaan Islam hanya tertumpu kepada isu penyalahgunaan logo halal, pemprosesan makanan yang diragui, budaya boros dan membazir pengguna dalam soal makanan, dan pendekatan al-istihalah dalam isu-isu haiwan ternakan.

Meskipun Kerajaan Malaysia menjadikan konsep wasatiyyah sebagai penggerak Gagasan 1Malaysia (G1M) dan falsafah pentadbiran negara, namun setakat ini ia belum dijadikan sebagai pendekatan penggunaan. Aspek kepenggunaan dan konsep wasatiyyah itu dibincang secara terpisah, sedangkan wasatiyyah merupakan satu pendekatan dalam penggunaan. Ketidaksempurnaan aspek penggunaan yang terpisah daripada konsep wasatiyyah menyebabkan timbulnya isu-isu yang dinyatakan sebelum ini.

 

Pembinaan Model Kepenggunaan-Wasatiyyah

Perkara ini juga menunjukkan pelaksanaan yang bersifat eklektik dan superfisial. Menurut Muhammad Syukri Salleh dalam bukunya 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam, sifat eklektik dan superfisial ini menggambarkan sesuatu yang dijalankan mempunyai masalah ketidaksempurnaan dan tidak menyeluruh. Implikasinya, penyelesaian kepada isu-isu kepenggunaan yang berlaku tersebut tidak dapat dilakukan secara holistik dari akar umbi dan bersifat sementara.

Atas alasan tersebut, pembinaan model kepenggunaan-wasatiyyah ini dilihat penting untuk meneliti kesepaduan konsep kepenggunaan dan wasatiyyah khususnya dalam menangani isu-isu kepenggunaan-ghuluw (mengguna mengikut keperluan dan kehendak nafsu masing-masing). Kesepaduan konsep-konsep ini dapat dibina melalui penelitian terhadap sumber epistemologi Islam iaitu dalil-dalil naqli dan dalil-dalil ‘aqli.

Dalam Islam, kepenggunaan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, Islam tidak menjadikan penggunaan yang maksimum sebagai pengukur kemajuan. Sebaliknya, Islam menjadikan iman dan takwa sebagai pengukur kemajuan. Atas dasar iman dan takwa inilah Islam menganjurkan penggunaan mengikut keperluan, berhemah dan seimbang berdasarkan pendekatan wasatiyyah. Inilah yang dikatakan sebagai kepenggunaan-wasatiyyah. Hal ini bagi mengelak kes-kes seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Pembinaan Model Kepenggunaan-Wasatiyyah ini penting kepada agenda negara dalam memperkukuhkan insklusiviti ke arah membina masyarakat yang saksama serta meningkatkan kesejahteraan rakyat berdasarkan teras strategik dan pemacu perubahan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11). Misalnya, bagi mensejahterakan hidup rakyat, dalam pembentangan Bajet 2017 kerajaan telah bersetuju menaikkan kelayakan pinjaman perumahan penjawat awam daripada serendah-rendahnya 120 ribu ringgit kepada 200 ribu ringgit, manakala pinjaman paling tinggi sebelumnya 600 ribu ringgit, kini dinaikkan kepada 750 ribu ringgit. Tidak cukup dengan itu, kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal dinaikkan daripada lima ribu ringgit kepada 10 ribu ringgit.

Meskipun Kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman rumah dan kenderaan sebegitu tinggi demi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, Kerajaan menyarankan rakyat berbelanja secara berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan untuk keperluan isi rumah terutama sekali bagi golongan B40. Maksudnya, mengguna bersesuaian dengan kadar kemampuan agar tidak dibebani dengan kadar hutang yang tinggi kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan hidup. Hal ini selari dengan dasar pentadbiran Kerajaan Malaysia yang berpandukan falsafah Islam yang bersifat universal iaitu wasatiyyah. Ia merangkumi kesederhanaan, keseimbangan, keadilan sosial, kesaksamaan dan kecemerlangan.

Berdasarkan perbincangan ini, pembinaan model penggunaan-wasatiyyah ini sangat penting. Ia dapat memberi impak positif kepada agenda Kerajaan dalam mengatasi pelbagai isu kepenggunaan seperti kes muflis dalam kalangan B40 dan Gen Y yang berumur antara 25 hingga 34 tahun. Pada masa yang sama, model ini juga dapat membantu Kerajaan dalam merealisasikan konsep wasatiyyah dalam aspek kepenggunaan sama ada di peringkat institusi mahupun negara. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *