Home » Langit Terbuka » Kepentingan Islam, Melayu terhakis jika Rukun Negara jadi mukadimah Perlembagaan

Kepentingan Islam, Melayu terhakis jika Rukun Negara jadi mukadimah Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, cadangan menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan akan disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menghakis hak serta kepentingan orang Melayu, pribumi di Sabah dan Sarawak, serta kedudukan agama Islam.

“Mukadimah digubal oleh pakar perundangan dengan tujuan untuk menjadikannya mukadimah kepada Perlembagaan. Rukun Negara tidak semestinya digubal oleh pakar perundangan dan ia digubal untuk tujuan politik negara. Bagaimana Rukun Negara hendak dijadikan mukadimah?

“Saya khuatir apabila Rukun Negara telah dijadikan mukadimah yang mempunyai kuat kuasa undang-undang dan hakim-hakim dikehendaki menggunakannya dalam mentafsir Perlembagaan.

“…..akan terbitlah penghakiman-penghakiman yang mungkin bercanggah dan tidak selaras dengan tujuan peruntukan-peruntukan yang sedia ada, walaupun peruntukan yang khusus,” katanya.

Tun Abdul Hamid berkata demikian dalam perutusan khas yang dibacakan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pada ‘Sidang Meja Bulat: Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan Negara?’ di sini, hari ini.

Menolak menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan, beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh menyamakan Rukun Negara dengan Panca Sila di Indonesia yang dikatakan menjadi faktor menyatupadukan rakyat di negara itu.

Abdul Hamid berkata, kebanyakan rakyat Indonesia tidak mengetahui kewujudan Perlembagaan dan peranannya, namun jelas beliau, rakyat di Malaysia sejak awal diperkenalkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama, manakala Rukun Negara diwujudkan kemudian.

“Saya tidak menentang jika semasa Suruhanjaya Reid menggubal Perlembagaan Persekutuan dahulu, ia diminta mengadakan mukadimah bagi Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang saya tentang ialah cubaan untuk mengambil Rukun Negara, yang digubal untuk tujuan lain untuk dijadikan mukadimah Perlembagaan Persekutuan selepas 60 tahun Perlembagaan itu berkuat kuasa,” katanya.

Sebelum ini, satu kumpulan dikenali sebagai Rukunegara Mukadimah Perlembagaan Malaysia (RMP) yang diketuai oleh Dr Chandra Muzaffar melancarkan gerakan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai dokumen pembuka kepada Perlembagaan Negara.

Penubuhan RMP bertujuan menggerakkan usaha serampang dua mata bagi mendapatkan pungutan suara rakyat Malaysia melalui pengumpulan tandatangan serta berhajat mendapatkan sokongan Majlis Raja-Raja agar satu usul berkaitan usaha ini dapat dibentangkan di Parlimen.

RMP berpendapat ini adalah satu langkah perlu dalam usaha memartabatkan Rukun Negara sebagai nilai hidup yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia.- https://www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *