Home » Langit Terbuka » Keputusan OIC bukti negara Islam bersatu

Keputusan OIC bukti negara Islam bersatu

SHAH ALAM 15 Dis.- Keputusan yang dibuat negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyegerakan resolusi berkaitan kepentingan Baitulmaqdis kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan negara Islam serius dalam memberi tekanan kepada Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, ia juga menunjukkan satu penyatuan dalam kalangan negara Islam untuk sama-sama menuntut hak rakyat Palestin bukan sekadar simpati.

“Negara Islam terlibat sedar isu berkaitan harta umat Islam tidak boleh dikompromi, malah perjuangan ini dilihat sebagai satu jihad yang perlu disokong agar kemerdekaan dan pembebasan bumi Palestin menjadi hak rakyatnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Media melaporkan, negara OIC menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan PBB supaya melaksanakan tanggungjawabnya pada kadar segera dengan menggerakkan resolusi berkaitan kepentingan Baitulmaqdis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara OIC juga menyatakan kesediaan untuk membawa isu bantahan terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh AS ke PBB, jika Majlis Keselamatan itu gagal bertindak.

Mengulas lanjut, Awang Suffian berkata, tindakan AS kini bukan lagi dilihat sebagai orang tengah dalam mencari jalan penyelesaian dalam isu Israel dan Palestin.

“Jika begini cara AS menyelesaikan isu seperti ini, maksudnya mereka telah melakukan kesilapan besar.

“AS sudah cenderung dan lebih berpihak kepada Israel berbanding umat Islam. Tidak mungkin penjajah (Israel) yang melakukan jenayah, boleh memiliki tempat yang bukan kepunyaan mereka,” katanya.

Awang Suffian berkata, diharapkan keputusan yang dibangkitkan oleh negara OIC ini tidak hanya menjadi deklarasi di atas kertas semata-mata.

“Kita tidak mahu keputusan sebegini hanya dicatatkan di kertas tetapi tidak mampu untuk dilaksanakan, sedangkan umat Islam adalah komuniti paling ramai di dunia.

“Kalau ikut kepada demokrasi umat Islam ada hak bersuara yang tidak boleh dibelakangkan,” katanya.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *