Home » Langit Terbuka » Kerajaan batal kerakyatan 68 individu sertai Daesh

Kerajaan batal kerakyatan 68 individu sertai Daesh

KUALA SELANGOR, Ahad – Kerajaan membatalkan kerakyatan 68 individu yang dianggap mengkhianati negara selepas mereka menyertai kumpulan militan Daesh di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak berkompromi dengan mereka yang khianati negara dan mereka kini tidak diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Serentak itu, katanya, kerajaan juga membatalkan 68 pasport mereka berkuat kuasa dua minggu lalu selepas mendapat arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Daripada maklumat perisikan, pasport rakyat Malaysia yang terlibat (dengan Daesh) telah diarah untuk dibatalkan, jadi mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan lagi sebagai warganegara Malaysia.

“Jika mereka pulang ke negara ini, tindakan perundangan akan diambil terhadap mereka mengikut Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, ada dua keluarga iaitu di Shah Alam dan Ipoh, bertindak menjual rumah, restoran dan kereta masing-masing untuk menyertai perjuangan militan Daesh di Syria.

“Berdasarkan risikan, kedua-dua keluarga ini tinggalkan segalanya dan bawa anak-anak kecil ke Syria kononnya ingin berjihad untuk mencari jalan singkat ke syurga.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, mereka yang kononnya ingin berjuang dengan Daesh di Iraq dan Syria berakhir dengan jadi pencuci tandas atau penyapu sampah di jalanan sahaja …ternyata semuanya indah khabar dari rupa.

“Saya dapat tahu mereka menyesal dan nak balik ke Malaysia tetapi kerajaan telah keluarkan arahan untuk batalkan pasport mereka serta-merta. Kita tidak mahu kompromi dengan mereka yang khianati negara dan kita tidak iktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjejaki lapan butir bom tangan yang dipercayai masih berada di tangan militan Daesh di negara ini.

Beliau berkata, dua daripada 10 bom itu telah digunakan dalam serangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, pada Jun lepas. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *