Kerajaan bayar pampasan jemaah tak dapat tunai umrah

0
240
Kerajaan akan membayar sedikit sagu hati atau pampasan akibat daripada mereka tidak dapat pergi ke sana. - Foto Arkib

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara selama sebulan bermula 8 Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata walaupun tidak dapat memberikan pampasan penuh, namun kerajaan berharap ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada jemaah tanah air.

“Saya diamanahkan oleh pihak jemaah menteri untuk bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Menteri Kewangan (MoF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memberi pampasan kepada mereka yang tidak boleh pergi (menunaikan) umrah baru-baru ini.

- advertisement -

“Maka kita akan bayar sedikit sagu hati atau pampasan akibat daripada mereka tidak dapat pergi ke sana. Insya-Allah perkara itu akan kita uruskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Idris berkata, pihaknya sedang menunggu senarai nama jemaah umrah yang layak untuk mendapat pampasan berkenaan dengan TH menjadi agensi yang akan bertanggungjawab menyalurkan wang berkenaan.

“Senarai nama akan diperoleh dari MOTAC untuk melihat senarai mereka yang terbabit. Wang ini akan masuk melalui pejabat TH dan semua (jemaah yang layak) boleh mengambil wang tersebut di pejabat TH berdekatan.

“Insya-Allah, kita akan umumkan sedikit masa lagi bila wang itu akan dimasukkan.

“Ini satu perkara yang menggembirakan walaupun kita tidak boleh menggantikan (jumlah kerugian) semuanya,” katanya yang menambah, ia sebagai tanda simpati daripada kerajaan kepada mereka yang terkandas dan tidak dapat mengerjakan umrah baru-baru ini.

Idris turut berharap pembukaan semula ibadat umrah mulai 8 Februari ini berjalan lancar dengan jemaah dan pihak agensi umrah mengikuti semua syarat ditetapkan kerajaan dan pihak Arab Saudi.

“Saya tidak mahu dengar lagi unsur seperti berlaku penipuan vaksin dan akibatnya kita nampak kerana nila setitik habis susu sebelanga. Kita juga harap pihak pengendali umrah dapat memastikan jemaah mengikuti SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

“Apa sahaja syarat untuk terbang (menunaikan umrah) digariskan hendaklah dipatuhi untuk kebaikan bersama,” katanya.

Semalam, Kabinet memutuskan umat Islam dibenarkan untuk mengerjakan ibadat umrah berkuat kuasa 8 Februari ini.

Nancy berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah bermula 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron. – Berita Harian