Home » Langit Terbuka » Kerajaan digesa beri jaminan undang-undang Islam terus dipelihara

Kerajaan digesa beri jaminan undang-undang Islam terus dipelihara

Datuk Seri Takiyuddin Hassan - Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi jaminan undang-undang Islam khususnya Enakmen Jenayah Syariah yang ada di semua negeri, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan tidak tergugat dan kekal sebagai undang-undang peribadi kepada umat Islam.

Gesaan itu dibangkitkan Ketua Whip Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Dr Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berikutan terdapat banyak pihak yang mencabar keabsahan enakmen syariah di mahkamah sivil termasuk Mahkamah Persekutuan,

Katanya, ada pihak mencabar kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang jenayah syariah yang hanya terpakai kepada orang Islam.

“Dalam hal ini, saya ingin bertanya Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar) apakah langkah yang telah dan akan diambil untuk memastikan undang-undang Islam khususnya Enakmen Jenayah Syariah yang ada di semua 14 negeri, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan dijamin tidak tergugat dan kekal sebagai undang-undang peribadi atau ‘personal law’ kepada seluruh umat Islam dalam negara yang meletakkan “Islam adalah Agama Persekutuan” seperti dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

 

“Bukankah menjaga agama adalah satu daripada lima tunjang utama maqasid syariah,” katanya pada sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Takiyuddin merujuk kes terbaharu yang sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Nik Elin Zurina Rashid dengan Kerajaan Kelantan.

Dalam kes itu, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Selain itu beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Takiyuddin berkata, daripada rekod mahkamah yang beliau ketahui, Kerajaan Persekutuan tidak berusaha membawa institusi agama islam yang berkaitan seperti Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan seumpamanya sebagai pencelah ataupun sekurang-kurangnya sahabat mahkamah bagi sama-sama mempertahankan undang-undang ini.

Katanya, kerajaan sudah tentu tahu andainya mahkamah membenarkan permohonan itu, maka semua Enakmen Jenayah Syariah di seluruh negeri-negeri adalah terbatal dan tidak sah dan DUN di semua negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang seumpama itu. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *