Home » Langit Terbuka » Kerajaan Iltizam Banteras Pornografi Kanak-Kanak

Kerajaan Iltizam Banteras Pornografi Kanak-Kanak

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata isu pornografi kanak-kanak adalah agenda penting untuk diperjuangkan dalam kementerian.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan usaha membanteras jenayah pornografi kanak-kanak dengan mewujudkan pelbagai kerjasama dengan pihak berkepentingan khususnya pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata isu pornografi kanak-kanak adalah agenda penting untuk diperjuangkan dalam kementerian.

“Membanteras kegiatan ini adalah matlamat utama kami. Saya percaya ada kerjasama dengan pihak polis, tetapi dalam bentuk apa itu tidak diputuskan lagi,” katanya ketika ditemui menghadiri Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik bersempena sambutan Hari RayaAidilfitri bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Abdul Muis Shefli.

Semalam laporan khas New Straits Times, menerusi temubual bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner, Ong Chin Lan, beliau berkata polis melancarkan perisian bagi mengesan kegiatan pornografi kanak-kanak.

Chin Lan dilaporkan berkata, Unit Tindakan Pencegahan Jenayah Internet Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) diperkenalkan bagi mengesan mereka yang melayari laman sesawang pornografi kanak-kanak.

“Selain mengesan jejak individu terbabit, peranti ini juga tahu lokasi, membina data dan kekerapan mereka melayari laman sesawang lucah itu dalam tempoh 24 jam,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/447343/kerajaan-iltizam-banteras-pornografi-kanak-kanak

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *