Home » Langit Terbuka » Kerajaan sedia bantu pembangunan institusi pemulihan sosial Islam

Kerajaan sedia bantu pembangunan institusi pemulihan sosial Islam

KAJANG – Kerajaan sedia membantu memudahkan penubuhan atau pembinaan institusi rawatan dan pemulihan sosial berteraskan Islam yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, langkah itu antara sokongan kerajaan terhadap usaha pihak berkenaan untuk menangani isu sosial dalam kalangan anak muda di negara ini.

“Setiap pembangunan yang mahu didirikan memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan itu adalah lumrah. Mereka perlulah mempunyai modul dan kerajaan akan membantu memudahkannya.

“Mana yang lambat, kerajaan akan bantu. Namun, kita (kerajaan) akan semak terlebih dulu jika tiada masalah bertentangan agama dan undang-undang, kita akan bagi kerjasama yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di KemPerkid Malaysia Kampung Sungai Semungkis, Hulu Langat, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Bilik Detoksifikasi KemPerkid Malaysia dan Anugerah Jasamu Dikenang Kepada Institusi Pemulihan Gejala Sosial NGO Islam.

Turut hadir, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nasrudin Hassan dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat.

Ketika ini terdapat 26 institusi pemulihan gejala sosial yang dikendalikan NGO Islam dengan tujuh daripadanya di bawah Perkid.

Sementara itu, Nasrudin berkata, tidak banyak pihak yang sudi tampil dalam usaha pemulihan sosial seperti kes penyalahgunaan dadah, murtad dan sebagainya dalam kalangan anak muda beragama Islam.

Namun, katanya, usaha dilakukan institusi pemulihan gejala sosial NGO Islam adalah amat baik dan Yadim menyokong usaha sedemikian yang menjadi antara gerak kerja dakwah selain menyampaikan ilmu.

“Saya merayu semua pihak termasuk kerajaan, agensi swasta, dermawan dan usahawan yang mempunyai kesedaran untuk membantu Yadim menggerak aktif institusi berkenaan kerana tanpa sokongan orang ramai, sudah tentu usaha ini akan tergendala,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *