Home » Langit Terbuka » Kerajaan tegas tangani isu agama, pastikan keharmonian terpelihara – Ahmad Zahid

Kerajaan tegas tangani isu agama, pastikan keharmonian terpelihara – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersalaman dengan para jemaah selepas selesai menunaikan solat magrib berjemaah pada Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Ar Rahman Kampung Rantau Panjang pada Jumaat. Foto Bernama

ALOR GAJAH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tegas dalam menangani isu agama bagi memastikan keharmonian di Malaysia terus terpelihara.

“Kita tahu (isu) agama ini adalah sensitif dan kita tidak mahu ada tangan yang menuduh, menuding jari pihak kerajaan tidak mengambil kepedulian mengenai perkara ini, terutama dalam isu mempertahankan agama Islam.

“Kita yakin Kerajaan Madani berpegang kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan malah parti-parti di dalam kerajaan juga mendukung tentang apa yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santunan Kasih Ramadan peringkat Zon Selatan 2025 di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan individu, kumpulan atau aliran tertentu supaya tidak menggunakan isu-isu agama untuk merosakkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan mengambil tindakan cepat, berkesan dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *