Home » Langit Terbuka » Kerja sukarelawan Farhanah diiktiraf di New Zealand

Kerja sukarelawan Farhanah diiktiraf di New Zealand

Farhana meluangkan masa untuk kerja sukarela di Auckland. Foto : Berita Harian

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Tidak ramai golongan muda berminat menghulurkan sumbangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama ketika masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Tambahan pula jika melanjutkan pengajian ke luar negara kerana pembabitan mereka dalam kerja sukarela pastinya memerlukan pergaulan bersama masyarakat dan penduduk setempat yang berbeza budaya dan cara hidup.

Namun, bagi Farhanah Firdaus Francis, 22, kesibukan mengejar ijazah dalam bidang perakaunan di Universiti Auckland, New Zealand tidak menghalang pembabitannya dalam menyertai kerja amal bersama NGO.

Katanya, kerja amal yang dilakukan bersama Handshake People New Zealand membuatkan dirinya dekat dengan masyarakat tempatan terutama golongan gelandangan tanpa mengira agama dan keturunan di negara Kiwi berkenaan.

Pelajar tahun dua Universiti Auckland ini berkata, pembabitannya dalam pertubuhan sukarela bermula kira-kira setahun lalu apabila beliau bersama sekumpulan rakan kuliah menubuhkan Handshake People bertujuan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Menariknya pertubuhan ini menggabungkan pelajar dari pelbagai negara termasuk Pakistan, Bangladesh, Arab Saudi dan New Zealand, selain Malaysia yang melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan secara mingguan dan bulanan.

“Ketika awal penubuhan jawatankuasanya, saya satu-satunya wanita yang menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangunan Wanita bagi pertubuhan itu,” katanya dalam satu temubual bersama BH, ketika pulang bercuti ke tanah air, baru-baru ini.

Farhanah berkata, Handshake People ditubuhkan atas kesedaran sekumpulan pelajar untuk membentuk golongan muda secara menyeluruh selain memastikan mereka memberi sumbangan semula kepada masyarakat.

Katanya, pertubuhan itu juga adalah sebahagian daripada Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia yang ditubuhkan pada 2014.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan Handshake People termasuk bengkel bertujuan memberi pelbagai kemahiran kepada masyarakat setempat mengenai kepimpinan, keusahawanan, pembangunan diri dan kerohanian.

“Kami juga mengadakan perbincangan dengan NGO bukan Islam di sana mengenai perbezaan Islam dengan agama lain di dunia serta permasalahan yang dihadapi remaja dalam pelbagai agama.

“Manakala setiap bulan pula kami tidak ketinggalan membantu dan mendekatkan diri dengan golongan gelandangan di sekitar Auckland dengan memasak dan memberi makan kepada mereka.

“Selain memasak sendiri makanan kami turut mendapat sokongan restoran dan kedai makan di sekitar yang akan menyumbangkan makanan dari premis mereka untuk diagihkan kepada gelandangan,” katanya.

Kesungguhan Farhanah membabitkan diri dengan kerja amal membolehkan anak bongsu dua beradik dari Ipoh, Perak ini menerima anugerah Women Who Inspire Award 2017 sekali gus mengiktiraf kerja sukarelanya di sana.

Farhanah berkata, selain aktif di New Zealand, beliau tidak lupa menghulurkan sumbangan untuk negara apabila menggunakan kesempatan cuti semester sejak Disember lalu dengan memberi motivasi kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Katanya, beliau bersama beberapa rakan yang menuntut di beberapa universiti luar negara bergabung tenaga kerana menganggap pentingnya untuk memberi panduan kepada golongan pelajar berkenaan mengenai hala tuju dan masa depan mereka.

“Kami mengambil inisiatif sendiri termasuk menjelajah ke Selangor dan Perak untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar di beberapa kem motivasi sebagai usaha berkongsi dan memberi sumbangan semula kepada masyarakat.

“Aktiviti ini memberi kepuasan kepada diri kerana menerusi kerja amal dan sukarela ini menjadikan saya lebih merendah diri selain lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.

Farhanah berkata, disebabkan minat mendalam membantu masyarakat, beliau tidak kisah mengorbankan tenaga dan waktu cuti semester dengan membabitkan diri dalam kerja amal.

Ketika rakan sekuliah lebih suka menghabiskan masa dengan melancong sewaktu cuti semester, Farhanah berkata beliau lebih rela terbabit dalam aktiviti yang dianjurkan pelbagai pertubuhan NGO di New Zealand.

Ditanya mengenai impiannya dalam memberi khidmat kepada masyarakat, Farhanah berkata, beliau berharap untuk mengadakan satu misi bersama sekumpulan pelajar antarabangsa dari universitinya tahun depan, memasuki bumi Palestin dan berada di sana sekurang-kurangnya sebulan bagi membantu penduduk negara itu. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *