Home » Langit Terbuka » Kesal Tidak Guna Bahasa Melayu Dalam Mahkamah

Kesal Tidak Guna Bahasa Melayu Dalam Mahkamah

Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim & , Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad

KUALA LUMPUR – Sikap sesetengah pengamal undang-undang termasuk yang berketurunan Melayu yang tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mahkamah se­perti yang termaktub dalam Seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 bukan sahaja dianggap tidak wajar, malah tindakan itu mengecewakan banyak pihak.

Tokoh bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, walaupun terdapat pe­ngecualian dalam akta tersebut, beliau sudah sekian lama kecewa dan sedih dengan sikap mereka yang menggunakan pengecualian tersebut untuk menjadikan penggunaan bahasa Inggeris dalam mahkamah sebagai amalan biasa.

“Memang kelonggaran ada diberikan untuk urusan mahkamah tetapi ramai peguam menggunakan alasan ini untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam perbicaraan.

“Sampai bila kita mahu memberikan kelonggaran begini? Sepatutnya jika kita tidak mahir, kita belajar dan berusaha me­ningkatkan penggunaan bahasa Melayu kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas dikritik hebat selepas dilaporkan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini untuk meneruskan prosiding kes pecah amanah serta salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bahasa Inggeris dan permohonannya itu dibenarkan.

Tommy kemudiannya didesak oleh penyokong Najib untuk menggunakan bahasa Melayu dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sehingga memaksa beliau dan pasukan pendakwaannya membatalkan sidang akhbar tersebut.

Mengulas lanjut, kata Nik Safiah, sikap masyarakat, lebih-lebih lagi yang tinggal di kawasan bandar yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam urusan harian menyukarkan lagi usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang profesional.

Beliau memberi­tahu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memperbe­tulkan masalah itu memandangkan pentadbiran terdahulu kurang berjaya mendidik rak­yat untuk menguasai lebih daripada satu bahasa.

“Rakyat Malaysia terutamanya di bandar lebih pen­tingkan bahasa Inggeris, sedangkan kita kata, perlu kuasai dua atau lebih bahasa dan bahasa Melayu jangan ditinggalkan,” kata­nya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berpendapat, kesukaran penggunaan bahasa Melayu dalam urusan mahkamah adalah disebabkan sikap kebanyakan fakulti undang-undang di universiti tem­patan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Kata beliau, ketiadaan falsafah undang-undang tempatan juga menyumbang kepada fenome­na tersebut memandangkan undang-undang negara masih lagi merujuk kepada prinsip common law yang berasaskan budaya Inggeris.

“Strategi dan perancangan yang mapan dari peringkat bawah iaitu dari segi pendidikan dan pembentukan falsafah undang-undang tempatan diperlukan untuk mengatasi masalah ini kerana selagi kita bergantung kepada falsafah undang-undang asing, selagi itu bahasa Melayu sukar digunakan dalam urusan mahkamah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/kesal-tidak-guna-bahasa-melayu-dalam-mahkamah-1.703863#ixzz5KRPcfRNB

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *