Home » Langit Terbuka » Ketua belia Kristian Finland disahkan antara 4 ditangkap

Ketua belia Kristian Finland disahkan antara 4 ditangkap

Timo Valtonen sedang bercuti di Thailand bersama isterinya di Thailand, sebelum membuat keputusan memasuki Malaysia - Foto Ismaweb

BANGI – Salah seorang lelaki yang ditangkap kerana mengedarkan risalah Kristian kepada masyarakat Islam di Langkawi kelmarin, disahkan sebagai ketua kumpulan belia Kristian Finland, Joosua Missio.

Timo Valtonen yang ditangkap bersama isterinya dan dua lagi rakan, adalah juga pengurus kempen Parti MP Finland, Mika Niikko dalam dua pilihan raya Parlimen negara itu.

Niikko memberitahu portal berita Yle bahawa Valtonen sedang bercuti di Thailand bersama isterinya di Thailand, sebelum membuat keputusan memasuki Malaysia.

“Mereka mempunyai bahan bacaan mengenai Kristian dan berkongsi dengan masyarakat yang mereka temui,” katanya.

Media tempatan melaporkan kedua-duanya ditangkap bersama dua lagi pendakwah Kristian di sebuah hotel di Langkawi pada jam 5 petang Selasa lalu, selepas polis menerima aduan orang awam.

Malaysia adalah negara negara yang majoritinya umat Islam serta mempunyai undang-undang tegas terhadap kegiatan penyebaran agama Kristian kepada penduduk setempat.

Polis menyiasat kes itu sebagai mendatangkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan.

Niikko berkata, pasangan itu dijangka pulang ke Finland semalam, tetapi kini ditangguhkan sementara menunggu kes terhadap mereka dibicarakan, di mana mereka berdepan penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Beliau sukar untuk mempercayai keempat-empat individu terbabit bakal menerima hukuman penjara yang panjang, tetapi berkata, dengan hukuman itu, Malaysia mungkin mahu memberi amaran kepada pihak lain supaya tidak bertindak demikian.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Finland di Malaysua, Teemu Laakkonen memberitahu agensi berita STT bahawa pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan sejak penangkapan pasangan itu.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas mengenai tuduhan terhadap kumpulan itu.

Laakkonen berkata, beliau tidak dapat memberitahu bagaimana keadaan keempat-empat individu terbabit, tetapi pihak kedutaan akan berusaha memastikan hak asasi manusia dihormati.

“Hakim akan menentukan tempoh hukuman jika mereka disabitkan kesalahan. Keadaan keselamatan di Malaysia keseluruhannya baik, tetapi negara ini mempunyai undang-undang tegas berkaitan agama Islam,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan itu akan dipenjara dua hingga tiga tahun, tetapi mungkin juga dibebaskan selepas membayar denda dan membuat permohonan maaf terbuka.

“Berbanding negara Islam lain, hukuman di Malaysia tidak terlalu ketat. Tetapi, tiada toleransi terhadap orang asing yang mengkritik atau menganggu Islam di Malaysia, walaupun secara umumnya negara ini mengamalkan kebebasan beragama,” katanya. – Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *