Home » Langit Terbuka » Khalid Samad gagal cabar Enakmen Pentadbiran Islam

Khalid Samad gagal cabar Enakmen Pentadbiran Islam

PUTRAJAYA 9 Nov. – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Sa­mad (gambar) gagal mendapatkan kebenaran merayu bagi mencabar Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Islam (Selangor) 2003 yang didakwanya sebagai tidak berperlembagaan.
Panel tiga hakim Mah­kamah Rayuan yang di­ketuai oleh Vernon Ong Lam Kiat yang bersidang bersama Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham dan Datuk Abdul Rahman Sebli sebulat suara menolak permohonan tersebut kerana tidak memenuhi keperluan untuk merayu.
Hakim Lam Kiat juga memaklumkan bahawa mahkamah bersetuju dengan hujah pihak responden, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dari Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu, Suzana berhujah, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut yang sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Syariah dan bukannya dibuat dengan cara semakan kehakiman.
Khalid selaku pemohon diwakili peguam-peguam, Sharifah Nur Asmaa’ Syed Azman dan Nadzratun Naim Hammad Azizi.
Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat ke­putusan yang sama selepas mendapati permohonan itu remeh, menyalahgunakan pro­ses mahkamah dan tidak mempunyai sebarang me­rit.
Pada 26 April 2012, Kha­lid, 59, didakwa mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Islam (Selangor) 2003 di Mah­kamah Rendah Syariah Klang atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau pada Ogos 2011.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau ke­dua-duanya.
Khalid dipanggil untuk mem­bela diri atas pertuduhan tersebut, namun prosiding tersebut ditangguhkan sementara me­nunggu keputusan permohonan tersebut.
– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *