Home » Lagenda » Khalifah yang Jujur…

Khalifah yang Jujur…

Umar bin Abdul Aziz, Khalifah ke-8 dinasti Umaiyah (99-102H) adalah seorang yang terkenal dengan kebijaksaannya. Khalifah yang lahir di Madinah pada 63 H/682 M ini terkenal dengan sifat sederhana, adil dan jujur dalam menerapkan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW.

Beliau menerima pendidikan di Madinah yang pada ketika itu menjadi pusat ilmu pengetahuan dan tempat ulama hadis dan tafsir. Pada tahun 93H, Umar pernah dipecat dari jabatan Gabenor Hijaz di Madinah kerana berbeza pendapat dengan Walid bin Abdul Malik, khalifah ke-6 Umaiyah. Perbezaan pendapat itu disebabkan oleh hasutan Hajjaj bin Yusof as-Saqafi (gabenor beberapa wilayah Umaiyah) dan penyokongnya yang tidak menyukai prestasi Umar.

Namun ketika Sulaiman bin Abdul Malik (khalifah ke-7) menaiki takhta, Umar memegang jawatan sebagai al-Katib. Umar calon yang amat sesuai menggantikan khalifah Sulaiman setelah kewafatan khalifah ke-7 itu. Sungguhpun pemerintahan Umar hanya dua tahun setengah sahaja, namun beliau memainkan peranan penting dalam mendamaikan pelbagai perselisihan pendapat dalaman umat Islam terutamanya berkaitan kaum Syiah.

Umar terkenal sebagai khalifah yang jujur. Beliau tidak suka menggunakan harta negara untuk kepentingan peribadi. Dalam satu peristiwa, putera Umar telah datang ke pejabatnya sewaktu beliau sedang bekerja kerana urusan keluarga. Ketika itu, Umar segera memadamkan lampu di ruang kerjanya kerana beranggapan minyak yang digunakan untuk lampu itu menggunakan wang negara.

Umar tegas menyatakan wang negara juga bererti wang rakyat. Oleh yang demikian, beliau tidak reda untuk menggunakan kemudahan negara hanya kerana kepentingan keluarga. Pada masa pemerintahannya, Umar telah membentuk Dewan Penasihat yang dianggotai oleh golongan ulama sebagai tempat membicarakan permasalahan agama, rakyat dan pemerintahan.

Walaupun masa pemerintahan Umar amat singkat, namun beliau telah berjaya membangun dan menyelesaikan beberapa perkara yang penting. Kebijaksanaannya digunakan untuk membangunkan bidang agama, sosial politik dan ekonomi. Sumbangan Umar dalam bidang agama antara lain adalah menghidupkan ajaran al-Quran dan sunnah Nabi SAW serta melakukan pemilihan hadis.

Dalam bidang sosial politik, sumbangan yang penting antara lain adalah menjunjung tinggi kebenaran serta keadilan dan memberikan kebebasan mengeluarkan pendapat kepada rakyat dari semua golongan. Dalam bidang ekonomi pula, langkah-langkah penting yang dilakukan oleh Umar ialah melindungi kepentingan rakyat dan meningkatkan kemakmuran mereka dengan mengurangi pajak yang dipungut dari kaum Nasrani dan menghentikan pajak dari umat Islam. Di bidang ketenteraan pula, Umar tidak tertarik untuk membangun angkatan ketenteraan kerana beliau memilih untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Umar sangat berjasa dalam melakukan penyalinan dan pemeliharaan hadis. Ia memerintahkan seluruh ulama termasuk ulama hadis untuk mencatat hadis-hadis. Tugas-tugas itu diserahkan kepada ulama besar iaitu Muhammad bin Muslim. Dalam hal ini Umar berjaya merekodkan hadis sehingga hadis dijadikan warisan penting yang tidak akan lenyap. Kini hadis telah dicetak dalam bentuk buku.

Pada masa kepimpinannya, Umar bin Abdul Aziz telah menetapkan beberapa syarat sebagai polisi para hakim. Menurutnya, dalam menyelesaikan perkara perselisihan, seseorang hakim harus mendasarkan keputusan kepada al-Quran, hadis, ijmak dan ijtihad. Oleh hal yang demikian, beliau menetapkan lima syarat para hakim iaitu memiliki ilmu pengetahuan tentang sejarah, menjauhi sifat tamak, penyantun dan dapat bekerjasama dengan para cendekiawan serta bebas dari pengaruh penguasa. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *