Home » Langit Terbuka » Kitab al-Quran diagihkan kepada hotel di Kelantan

Kitab al-Quran diagihkan kepada hotel di Kelantan

MD Anizam (tengah) menyampaikan sumbangan naskah al-Quran kepada pengusaha hotel di Kelantan - Foto Harian Metro

Kota Bharu – Bagi menggalakkan pengunjung hotel membaca al-Quran, kerajaan negeri menyerahkan sebanyak 1,800 naskah kitab berkenaan kepada lebih 10 hotel di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, al-Quran berkenaan masing-masing disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi sebanyak 1,500 naskah dan 300 daripada kerajaan negeri.

Katanya, setiap hotel menerima antara 30 hingga 50 naskah al-Quran yang akan diletakkan di dalam bilik penginapan.

“Agihan naskah ini kepada hotel akan memberi peluang kepada pelancong untuk membaca al-Quran dan lebih istimewa apabila al-Quran yang disumbangkan mempunyai terjemahan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin.

“Ia bagi memudahkan pengunjung hotel membaca terjemahan dalam bahasa yang mereka fahami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan al-Quran kepada pengusaha hotel di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Hadir sama, wakil Kedutaan Arab Saudi, Abdul Rahman Ibrahim Al-Robian dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Katanya, agihan al-Quran itu adalah satu langkah yang baik dan berharap pelancong sama ada domestik atau antarabangsa dapat menjaga kalam suci itu.

“Agihan al-Quran di hotel ini juga seiiring dengan dasar membangun bersama Islam. Kita ucapkan terima kasih kepada Atase Agama Kedutaan Arab Saudi yang memberi sumbangan ini.

“Saya harap sumbangan itu dapat menyemarakkan lagi sambutan Ramadan dan mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya.

Katanya, pada masa sama sumbangan itu juga akan diperluaskan lagi kepada pengusaha inap desa dari semasa ke semasa. – Harian Metro

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *