Home » Langit Terbuka » KKM jejaki 5,000 peserta tabligh untuk ujian COVID-19

KKM jejaki 5,000 peserta tabligh untuk ujian COVID-19

Kementerian Kesihatan Brunei dalam kenyataannya sebelum ini mengesahkan kes pertama positif COVID-19 di negara itu dijangkiti ketika hadir satu majlis keagamaan di Malaysia. - Foto hiasan Belize News

PUTRAJAYA: Semua Jabatan Kesihatan Negeri kini giat mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata siasatan itu dijalankan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, di mana kes yang disahkan positif COVID-19 di negara terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

“Kes berkenaan dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini membabitkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan yang diberikan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Brunei dalam kenyataannya mengesahkan kes pertama positif COVID-19 di negara itu dijangkiti ketika hadir satu majlis keagamaan di Malaysia.

Individu terbabit dikatakan pulang ke Brunei dengan rakannya pada 3 Mac lalu melalui Miri, Sarawak sebelum menyedari mengalami simptom jangkitan dan membuat pemeriksaan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 8 Mac lalu. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *