Home » Langit Terbuka » KKMM proaktif kekang penularan militan Daesh – Jailani Johari

KKMM proaktif kekang penularan militan Daesh – Jailani Johari

MELAKA, 14 April (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah proaktif mengekang penularan militan Daesh termasuk mengenal pasti laman web dan individu yang terlibat dengan gerakan itu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata langkah yang dilaksanakan itu merupakan kerjasama dengan pelbagai kementerian antaranya Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata antara hasil daripada langkah itu sebanyak 72 laman web berkaitan militan Daesh telah disekat antara Ogos tahun lepas hingga Mac tahun ini.
“Pihak berkuasa turut membuat tangkapan dan bantuan segi teknikal daripada kementerian (KKMM) berjaya membantu pihak berkuasa mengesan penularan gerakan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.
Terdahulu beliau merasmikan Program Bual Bicara Isu-isu Semasa 2017 Zon Selatan di Bukit Katik di sini. Jailani berkata melalui tindakan proaktif dan bersepadu bersama kementerian lain itu dapat menyekat usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memujuk rakyat terutama anak muda menyertai militan Daesh.
“Kita melalui SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) mempunyai satu unit yang dapat mengenal pasti siapa suspek tersebut (yang terlibat dengan militan Daesh) yang akhirnya mereka ini diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata KKMM melalui pelbagai agensi di bawahnya, terutama Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas, Jabatan Penyiaran dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, telah merancang pelbagai program penerangan dan penyampaian maklumat kepada rakyat mengenai ancaman militan Daesh.
Sementara itu, Jailani berkata mereka yang cuba membuat kenyataan mensabotaj ekonomi, mengaibkan pemimpin atau menyebabkan masalah kepada negara tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Akta-akta berkaitan yang sesuai, antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia, akan diguna pakai untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana mereka yang cuba menghuru-harakan kerajaan atau mengaibkan pemimpin,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *