Home » Langit Terbuka » Konflik Israel-Palestin: Majlis Raja-Raja dukacita, gusar kuasa besar dunia belum capai kata sepakat

Konflik Israel-Palestin: Majlis Raja-Raja dukacita, gusar kuasa besar dunia belum capai kata sepakat

Suasana di Palestin - Foto Awani

Kuala Lumpur: Majlis Raja-Raja sepakat mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin apatah lagi ia membabitkan kematian terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober lalu itu dibincangkan pada sesi Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-262 di Istana Negara, hari ini.

Syed Danial berkata Majlis Raja-Raja turut menzahirkan rasa dukacita dan gusar kerana masyarakat antarabangsa dan kuasa-kuasa besar dunia belum mencapai kata sepakat dalam mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menggesa kerajaan Malaysia terus bersuara membela rakyat Palestin dan membantah penindasan serta kezaliman berterusan rejim Zionis Israel di pentas antarabangsa atas tanggungjawab kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Danial berkata pada sesi pra-mesyuarat berkenaan, Majlis Raja-Raja juga menyokong dan berpegang teguh dengan pendirian kerajaan Malaysia selama ini bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.

“…hak dikembalikan tanah yang dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta Masjid Al-Aqsa akan kekal sebagai tempat ibadah umat Islam,” katanya.

Syed Danial berkata Majlis Raja-Raja turut menggesa kerajaan Malaysia terus mengambil inisiatif dan langkah proaktif di pentas antarabangsa bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.

Beliau berkata Majlis Raja-Raja juga menyeru rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

Katanya rakyat tanpa mengira bangsa dan agama diseru berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik terbaharu Palestin-Israel dapat dihentikan segera serta rakyat Palestin dilindungi, selain tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel.

“Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja juga menyeru masjid dan surau serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.

Berdasarkan laman web rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-262 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang ke-263 (Khas) akan diadakan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *