Home » Langit Terbuka » Konsep Rahmatan lil Alamin perlu diperkukuh dalam kurikulum

Konsep Rahmatan lil Alamin perlu diperkukuh dalam kurikulum

Rektor Universiti Fatoni Thailand, Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya. - Foto FB

GOMBAK – Cara hidup berpandukan al-Quran dan sunnah melalui konsep Rahmatan lil Alamin perlu diperkukuhkan dalam kurikulum institusi pendidikan di negara ini.

Rektor Universiti Fatoni, Thailand, Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya, berkata ini bagi memastikan gagasan baharu pentadbiran Islam yang diperkenalkan kerajaan Malaysia itu dapat dihayati bermula dari pelajar sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Selain itu, katanya, usaha untuk menghidupkan pengajian al-Quran dan sunnah sebagai Rahmatan lil Alamin di masjid, surau, pejabat dan rumah perlu disemarakkan dalam bentuk pengajaran, ceramah, muzakarah dan halaqah.

“Syiar Rahmatan lil Alamin perlu diangkat dalam semua kegiatan sama ada pada peringkat masyarakat dan negara supaya semua program bersumberkan rahmat Allah.

“Apa yang paling penting, usaha penerangan semasa kepada pentafsiran al-Quran dan sunnah perlu dipergiat supaya menjadi panduan kepada kerajaan dan masyarakat dalam menghayati konsep ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Konsep Rahmatan lil Alamin dalam Menghadapi Gejala Ekstremisme” pada Seminar Antarabangsa Rahmatan lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Ismail berkata, umat Islam harus berbaik-baik dengan orang bukan Islam, serta tidak menimbulkan sebarang permusuhan, seperti contoh yang ditunjukkan Rasulullah, sekali gus mengangkat syiar Rahmatan lil Alamin.

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada kafir yang tidak memerangimu dari segi agama dan tidak menghalau kamu dari kampung halamanmu. Kamu harus berbuat baik dengan dia.

“Kita mesti berdakwah kepada orang bukan Islam dengan akhlak yang baik dan cara yang cukup bijaksana, serta membawa dasar yang bukan memusuhi mereka,” katanya.

Pada pembentangan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bertindak sebagai pengulas, manakala Dekan Kulliyyah Kejuruteraan UIAM, Prof Dr Mohd Faris Ismail sebagai moderator.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *