Home » Langit Terbuka » Korban wagyu RM30,000 bukan isu

Korban wagyu RM30,000 bukan isu

Iklan korban lembu wagyu yang tular sebelum ini. - Foto Gempak.com

KUALA LUMPUR – Pakej korban lembu wagyu yang mencecah RM30,000 bagi satu bahagian dibenarkan dalam ibadah korban sempena perayaan Aidiladha.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sekiranya individu itu berkemampuan tidak menjadi masalah.

Malah katanya, Islam amat menggalakkan penggunaan haiwan terbaik dan sihat untuk melakukan ibadah korban.

“Boleh korban unta, lembu wagyu dan sebagainya tapi syaratnya berkemampuan, jangan sampai berhutang.

“Jika lembu wagyu terbaik dengan niat memberi tiada masalah. Lembu lagi besar lagi baik walaupun harga mahal tapi ia boleh diagihkan dengan sebanyaknya.

“Ia bukan isu menunjuk tapi mungkin dengan sebab itu (korban) ramai fakir miskin boleh rasa lembu wagyu yang sebelum ini mereka hanya dengar saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Infaq Daging anjuran Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Mitron Sdn Bhd di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur, pada 4 Julai.

Terdahulu, tular di media sosial pakej korban lembu wagyu miyazaki dari Jepun yang mencecah RM30,000 bagi satu bahagian.

Syarikat yang menawarkan pakej itu memaklumkan sudah mendapatkan pandangan pakar agama sebelum melancarkan program berkenaan.

Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban yang akan disambut pada hujung bulan ini, Dr Zulkifli berkata, pihaknya akan mengeluarkan panduan kepada umum.

Katanya, SOP berkenaan akan dibuat dalam bentuk info grafik atau bentuk lain yang memudahkan orang ramai memahaminya.

Beliau berharap masyarakat Islam mematuhi SOP ditetapkan kerajaan itu pada sambutan Aidiladha nanti. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *