Home » Langit Terbuka » KUIM perkenalkan modul pencegahan rasuah

KUIM perkenalkan modul pencegahan rasuah

SHAMSHUN BAHARIN MOHD. JAMIL (depan enam dari kanan) dan Dr. Mohd. Taib Dora (depan lima dari kiri) menunjukkan isyarat bagus bersama-sama pengurusan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelajar KUIM pada majlis pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah peringkat KUIM 2018 di kampus universiti itu di Kuala Sungai Baru, Melaka, petang tadi. - Foto UTUSAN

ALOR GAJAH 28 Mei – Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) akan memperkenalkan modul mata pelajaran pencegahan rasuah kepada pelajarnya tidak lama lagi untuk memastikan amalan salah guna kuasa dan rasuah dapat dibendung dalam kalangan generasi muda pada masa akan datang.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Taib Dora berkata, menerusi pelaksanaan modul itu, KUIM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewajibkan semua pelajarnya mengambil mata pelajaran berasaskan kepada amalan integriti dan pencegahan rasuah.

“KUIM akan memasukkan modul pencegahan rasuah dalam mata pelajaran wajib di universiti ini dan kursus ini akan diambil oleh semua pelajar jurusan ijazah dan diploma.

“Kita akan jadikan ia sebagai mata pelajaran wajib dan ada di antara modul mata pelajaran ini akan diajar sendiri oleh Unit Latihan SPRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) KUIM di Auditorium Ibnu Khaldun kampus universiti itu di Kuala Sungai Baru dekat sini hari ini.

Majlis pelancaran SPR KUIM 2018 itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan turut dihadiri Pengarah SPRM Melaka, Abu Talib Othman.

Sementara itu, Shamshun Baharin menyambut baik usaha dijalankan KUIM melaksanakan modul mata pelajaran pencegahan rasuah dalam kalangan pelajarnya.

“Kita di SPRM sememangnya menggalakkan mana-mana pihak untuk mengadakan kerjasama dengan kita termasuk dalam aspek pencegahan. Dalam usaha kita menyerapkan elemen pencegahan rasuah di peringkat pelajar, sokongan dan dokongan pihak universiti amat diharapkan dan langkah diambil KUIM dapat menjadi contoh kepada institusi pengajian tinggi lain,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *