Home » Langit Terbuka » Kuin kini berstatus universiti penuh, dikenali UniSHAMS

Kuin kini berstatus universiti penuh, dikenali UniSHAMS

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tiga, kanan) bersama Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (lima, kiri) menyaksikan penyerahan Perakuan Pendaftaran sebagai Universiti oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir (dua, kanan) kepada Rektor UniSHAMS Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin (tiga,kiri) pada Majlis Penyerahan Perakuan Pendaftaran Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS) di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini. - Foto Bernama

 

PUTRAJAYA 8 Feb. – Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kini bertaraf universiti penuh dan dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS).

Pengumuman itu dibuat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Idris Jusoh pada satu majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di kementeriannya di sini.

Idris dalam sidang medianya selepas itu berkata status tersebut diberikan selepas Kuin yang ditubuhkan pada 1995 telah memenuhi syarat yang ditetapkan kementerian, antaranya kapasiti tenaga pengajar, kualiti kursus, penyelidikan serta kebolehpasaran graduan.

“Kita sentiasa tegas dari segi pemberian status universiti penuh dalam usaha memastikan institusi pendidikan tinggi sentiasa memberi perkhidmatan pendidikan yang berdaya saing dan berkualiti dalam melahirkan insan holistik dan seimbang,” katanya.

Perakuan pendaftaran status universiti penuh tersebut diserahkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Ir Dr Hamisah Tapsir kepada Rektor UniSHAMS, Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

Beroperasi sejak 25 tahun lepas, Kuin yang terletak di Kuala Ketil, Baling dan dimiliki oleh kerajaan negeri Kedah kini menawarkan 44 kursus pengajian dengan jumlah penuntut terkini seramai 3,895 orang.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS, pula berkata berkata hasil usaha keras semua pihak, penantian rakyat Kedah selama 25 tahun untuk menyaksikan Kuin diiktiraf sebagai universiti penuh akhirnya tercapai hari ini.

Beliau berkata proses mendapatkan pengiktirafan itu bermula pada Disember 2015 dan pihaknya telah menerima surat kelulusan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta sebagai universiti pada 22 Ogos tahun lepas dengan perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Katanya pemilihan nama UniSHAMS itu telah mendapat perkenan Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang sebelum ini mahu melihat Kuin dinaik taraf sebagai sebuah universiti Islam antarabangsa. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *