Home » Citra Yadim » Kunjung hormat ke Pejabat Mufti Melaka

Kunjung hormat ke Pejabat Mufti Melaka

AYER KEROH – Satu kunjungan hormat ke Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah diadakan pada 11 Julai lalu oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang bertujuan mempereratkan lagi hubungan yang sedia terjalin.

Mewakili YADIM ialah Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanitanya, Ustaz Muhammad Hafiz Musa serta Penyelaras YADIM Melaka, Muzaffar Abd Rahim.

Kehadiran YADIM disambut sendiri oleh Mufti Melaka, Sahibus Samahah Datuk Haji Abdul Halim Tawil yang kemudiannya mengadakan sesi perbincangan tentang kerjasama yang bakal menguntungkan kedua dua pihak.

Antara yang dibincangkan oleh Muhammad Hafiz termasuklah hala tuju baru YADIM seiring hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dalam menyantuni masyarakat menerusi gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syari’yyah dan Model Malaysia.

Perbincangan selama sejam itu, turut berkisar mengenai slogan baharu YADIM, ‘Fastabiqul Khairat’ iaitu berlumba lumba mengejar kebaikan.

Menerusi perbincangan tersebut, adalah diyakini kehadiran YADIM di Melaka akan membawa pendekatan baru yang lebih mesra mad’u terutama dalam aspek dakwah kepada golongan bukan muslim.

Ini kerana dakwah YADIM nampak lebih terbuka dalam bentuk kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan negeri Melaka itu sendiri.

Dalam pada itu, pejabat Abdul Halim juga sedia maklum beberapa program melibatkan kerajaan negeri Melaka dan YADIM yang telah berjalan, antaranya ‘Sinar Dhuha Sempena Ihya Ramadan’ di masjid masjid daerah sejak Ramadan lalu.

Kedua pihak juga yakin hubungan baik serta kerjasama antara Jabatan Mufti Melaka dan YADIM akan terus diperkukuh dan berpanjangan selepas ini.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *