Home » Langit Terbuka » Lagi bantuan Malaysia sampai ke tangan penduduk Gaza

Lagi bantuan Malaysia sampai ke tangan penduduk Gaza

Wakil Econsave dan MyCARE (kanan) menyerahkan sumbangan pek makanan kepada wakil penduduk di Gaza.
JOHOR BAHRU: Tabung Kecemasan Palestin menyalurkan sumbangan awal pek makanan bernilai AS$10,000 (RM47,650) buat mangsa perang di Gaza ketika ini.
Kutipan itu adalah hasil tabungan yang dilancarkan Pasar Raya Econsave Cash and Carry Sdn Bhd (Econsave) dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Johor pada 14 Oktober lalu.
Pengurus Kanan Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam berkata, penyerahan dilakukan pihak MyCARE kepada wakil penduduk di Gaza, kira-kira dua minggu lalu.
“Ini adalah kutipan dari 94 cawangan Pasar Raya Econsave seluruh negara sejak 14 Oktober lalu. Kami berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbang.
“Sama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya pada Selasa.
Sementara itu, Penasihat MyCare Johor, Dr Mohd Zin Kandar berkata, sumbangan tersebut merupakan penyerahan bagi fasa pertama tabung dan fasa kedua sedang dirancang.
“Fasa seterusnya bergantung kepada keperluan di sana. MyCARE mempunyai wakil dan pejabat di Gaza.
“Sasaran kita adalah RM500,000 untuk bantuan kecemasan di Gaza,” katanya.
Dr Mohd Zin yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE berkata, sejumlah RM50,000 bantuan perubatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sudah diedarkan pada 13 Oktober lalu.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad menerusi Maybank Islamic Berhad 5515 7500 4299; CIMB Islamic Bank Berhad (8602 135 592); Bank Islam Malaysia Berhad (1209 2010 0349 04). – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *