Home » Langit Terbuka » Lakonan berkhalwat untuk burukkan imej jabatan agama akhirnya terjawab

Lakonan berkhalwat untuk burukkan imej jabatan agama akhirnya terjawab

Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyifatkan tindakan Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,500 kepada Mohd Ridhuan Giman kerana membuat aduan palsu berkenaan kes khalwat, membersihkan imej penguatkuasa Jawi yang melaksanakan tugas dengan profesional.

Pengarah Jawi, Abdul Aziz Jusoh, berkata tindakan Mohd Ridzuan, 35,  ke atas Pegawai Penguatkuasa Agama Jawi merupakan suatu tohmahan dan strategi terancang pihak-pihak tertentu untuk merosak dan menjatuhkan reputasi penguatkuasa dan institusi agama.

“Tohmahan terhadap Penguatkuasa Jawi  terbukti adalah satu lakonan terancang,” katanya dalam satu kenyataan, bagi mengulas keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman RM1,500 atau empat bulan penjara terhadap Mohd Ridhuan mengikut Seksyen 182 (Aduan Palsu) Kanun Kesiksaan di Mahkamah Majistret 7, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 26 Februari 2018.

Portal berita Malaymail pada 17 Februari tahun lalu melaporkan berita bertajuk `Suami Isteri Cedera, Pegawai Jawi Ceroboh Bilik Hotel’.

Berita itu menyatakan, seorang suami cedera di leher sewaktu bergelut dengan penguatkuasa agama ketika mereka memaksa masuk bilik hotel penginapan pasangan itu, sementara isterinya pula mengalami lebam-lebam di tangan akibat bergelut kerana membantah apabila dipaksa berpakaian di depan penguatkuasa lelaki.

Dalam kes tersebut, sebenarnya, Ridhuan telah membuat panggilan telefon kepada Pegawai Penguatkuasa Agama pada Januari tahun 2017 dan melaporkan satu kejadian khalwat dan memohon Pegawai Penguatkuasa Agama membuat tangkapan segera.

Pasangan yang diadu tersebut ialah  beliau dan isterinya sendiri dan “drama” tersebut berlangsung sehingga pihak mereka suami isteri memfailkan saman kepada Pegawai Penguatkuasa Jawi kerana didakwa telah menangkap mereka yakni pasangan suami isteri yang sah, bukan pasangan khalwat.

Berdasarkan kejadian di atas, siasatan dilakukan dan mendapati bahawa panggilan yang dibuat tersebut adalah dari tertuduh sendiri.

Laporan polis dibuat berkenaan Aduan Palsu, Seksyen 182 Kanun Kesiksaan dan kes tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Majistret 7, Jalan Duta, Kuala Lumpur dan tertuduh telah mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1500 atau empat (4) bulan penjara.

Abdul Aziz turut berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah membersihkan kembakli imej Jawi.

“Jawi mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pendakwa Raya yang telah mengendalikan kes ini dan masyarakat yang sentiasa mengamalkan konsep “tabayyun” sebelum mempercayai maklumat dan sebaran yang tular di media-media social,’ katanya.

Tertuduh tersebut sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Syariah di bawah 1 pertuduhan bagi kesalahan berkaitan “Menghina atau disebabkan dipandang hina, dan lain-lain Agama Islam (Seksyen 7(c)), dan 2 pertuduhan lain bagi kesalahan “Memberikan Keterangan, maklumat atau pernyataan palsu (Seksyen 30 (1)), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Isterinya turut didakwa bagi kesalahan bersubahat mengikut Seksyen 43 (c) dibaca bersama Seksyen 7 (c) akta yang sama. Kedua-dua tertuduh akan menghadapi perbicaraan kes ini pada 3 April akan datang di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. – MYEHWAL

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *