Home » Langit Terbuka » Larangan merokok akan diperluas ke kedai dobi, hotel

Larangan merokok akan diperluas ke kedai dobi, hotel

Kementerian Kesihatan mengakui wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan pewartaan larangan itu kerana tempat awam seperti kedai dobi dan hotel lazimnya dibelenggu masalah asap rokok. - Foto The Economist

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok dalam tempoh terdekat, membabitkan premis kedai dobi dan hotel di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata larangan berkuat kuasa 1 Januari 2019 itu ketika ini hanya tertakluk kepada sembilan jenis premis di tempat awam.

Hasil maklum balas pelbagai pihak, katanya, kementerian mengakui wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan pewartaan larangan itu kerana tempat awam seperti kedai dobi dan hotel lazimnya dibelenggu masalah asap rokok.

“Tinjauan mendapati ada yang masih merokok di situ (kedai dobi dan hotel). Justeru, wujud kebimbangan mengenai masalah kesihatan dalam kalangan perokok pasif.

Oleh itu, kita akan bincang untuk tambah (larangan merokok di premis awam berkaitan) dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan promosi tempat makan sebagai larangan merokok, di sini.

Dr Dzulkefly berkata, tempoh mendidik selama enam bulan yang diperuntukkan sebelum kompaun dan denda dikeluarkan masih terpakai meskipun wujud desakan supaya pendekatan itu dimansuhkan.

“Kita nak beri orang ramai faham bahawa kementerian bukan nak menghukum, sebaliknya lebih kepada mendidik supaya pelaksanaan larangan merokok ini berkesan dan berupaya dilaksanakan.

“Amaran lisan masih diberikan kepada perokok, namun tindakan punitif akan terus berkuat kuasa selepas tempoh mendidik selama enam bulan berakhir kerana ketika itu tiada lagi alasan untuk mereka gagal mengikuti peraturan.
“Kementerian setakat ini mempunyai 5,008 anggota PPKP yang ditugaskan untuk membuat pemantauan dan mengeluarkan amaran lisan kepada pihak yang ingkar, sama ada perokok atau pengusaha premis kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *