Home » Langit Terbuka » Lebih 2,000 pelajar sekolah menengah dan rendah terlibat dadah

Lebih 2,000 pelajar sekolah menengah dan rendah terlibat dadah

Kesemua mereka dikesan melalui ujian saringan air kencing yang dilakukan AADK di sekolah-sekolah. - Foto fail

MELAKA: Lebih 2,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, angka itu dilihat belum berada di tahap membimbangkan tetapi beliau mahu usaha digembleng bagi membanteras pembabitan penagih baharu terutamanya seawal usia sekolah rendah.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berkata, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga meminta Pemadam membantu melaksanakan kempen pencegahan di peringkat sekolah.

“Statistik terkini tahun ini, AADK mengenal pasti 2,100 murid sekolah rendah dan menengah di 178 kawasan di seluruh negara terlibat dengan gejala penagihan dadah.

“Kesemua mereka dikesan melalui ujian saringan air kencing yang dilakukan AADK di sekolah-sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kelab Mahasiswa Pemadam Kolej Antarabangsa Yayassan Melaka (KAYM), di Bukit Sebukor, Melaka yang merupakan IPTS pertama diiktiraf sebagai ahli kelab pemadam, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi dan Pengerusi Pemadam Melaka Datuk Latipah Omar.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata, mahasiswa di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) didapati lebih berisiko untuk diumpan oleh sindiket dadah bagi membeli bahan larangan itu terutamanya bagi pasaran dadah jenis sintetik.

Kata beliau, golongan itu dijadikan sasaran kerana pihak sindiket beranggapan mereka mempunyai mendapat perbelanjaan bulanan tinggi selain dari kalangan keluarga berada.

“Biasanya penuntut IPTS menggunakan untuk tujuan berhibur dan ketahanan diri bagi mengelak rasa mengantuk untuk mengulang kaji hingga larut malam,” katanya. ASTRO AWAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *