Home » Langit Terbuka » Lebih empat juta tunai umrah semasa Ramadan

Lebih empat juta tunai umrah semasa Ramadan

Umat Islam memenuhi ruangan Masjidilharam bagi menyempurnakan solat. -Foto AFP

Mekah – Menunaikan ibadah umrah semasa bulan Ramadan menjadi pilihan ramai apabila kehadiran lebih empat juta pengunjung direkodkan dalam tempoh 20 hari berpuasa di Masjidilharam.

Jabatan Pengurusan Jemaah dan Tafweej serta pihak terlibat bergabung tenaga untuk memanfaatkan segala kemampuan dan memberi keselesaan kepada jemaah umrah serta memastikan aspek keselamatan terjamin.

Timbalan setiausaha agung jabatan tersebut, Osama Al-Hujaili berkata, pihaknya akan memastikan kehadiran jutaan pengunjung itu mengikut langkah berjaga-jaga sejak awal Ramadan lalu.

Beliau turut menyeru jemaah mematuhi masa yang ditetapkan melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Katanya, pihaknya berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik dan menyediakan laluan bagi warga emas dan orang kurang upaya.

“Integrasi perkhidmatan yang disediakan di Masjidil Haram mengikut kadar keperluan jemaah haji dan jemaah,” katanya lapor Saudi Gazette.

Dalam perkembangan sama, Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci memaklumkan Masjid Nabawi di Madinah pula menerima kehadiran 14.7 juta jemaah dan lebih 944,355 pengunjung di Al-Rawdah Al-Sharifa sejak hari pertama Ramadan.

Pihaknya berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah yang hadir dari seluruh dunia menerusi sistem perkhidmatan bersepadu.

Menurut Timbalan Presiden Hal Ehwal Eksekutif dan Lapangan, Abdulaziz Ali Al-Ayoubi, semua kakitangan agensi bantuan akan mempergiatkan kerja dengan meningkatkan kapasiti operasi bagi membolehkan tahap perkhidmatan tinggi dikekalkan di Masjid Nabawi.

“Pihak agensi akan bekerja selama 24 jam sehari dan usaha digandakan semasa Ramadan serta sepuluh hari terahir bulan suci itu,” katanya.

Abdulaziz berkata, pihak agensi juga berusaha menyediakan segala aspek berkaitan operasi, penyelenggaraan, pengurusan orang ramai, pembasmian kuman, kualiti permaidani dan semua perkhidmatan di kawasan masjid untuk jemaah lelaki dan wanita.

Di samping itu, katanya, semua jemaah akan dapat merasai perkhidmatan komprehensif yang memenuhi keperluan mereka. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *