Home » Langit Terbuka » Lebih ramai huffaz jadi profesional – Zahid

Lebih ramai huffaz jadi profesional – Zahid

MELAKA 6 Jun – Semua lepasan maahad tahfiz akan digalakkan untuk mengambil mata pelajaran tingkatan empat dan lima bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi membolehkan golongan huffaz melan­jutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seterusnya berkhidmat kepada negara dalam bidang profesional.

“Kerajaan mahu golongan huffaz menjadi golongan profesional bukan setakat menghafaz al-Quran semata-mata.

“Kita mahu mereka menjadi jurutera, doktor dan juruterbang malah mereka ini juga yang bakal menjadi Menteri Pertahanan atau Menteri Dalam Negeri suatu ketika kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penerapan Nilai-nilai Murni Di Bulan Ramadan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pe­ringkat negeri Melaka di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hi­shammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, barisan Exco kerajaan negeri serta Ketua Polis Melaka, Datuk Abd. Jalil Hassan.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu yang akan bermula tahun depan hasil perjumpaan dan perbincangan antara beliau de­ngan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) baru-baru ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 125,000 huffaz di seluruh negara menjelang 2050 menerusi dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menurut Ahmad Zahid, sasaran itu penting dalam melahirkan generasi yang mampu memba­ngunkan sebuah negara sejah­tera, aman, harmoni dan mendapat keberkatan serta keredaan daripada Allah.

Sementara itu, lebih 1,500 orang menghadiri majlis tersebut yang merupakan destinasi kelapan anjuran KDN.

Program dimulakan dengan majlis berbuka puasa, penyampaian sumbangan kepada 100 orang anak yatim serta solat maghrib yang diimamkan oleh Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri kemudian bergerak ke Masjid Salmah Khamis di Masjid Tanah dekat sini untuk menunaikan solat isyak, solat tarawih dan majlis moreh bersama jemaah.

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *