Home » Persuasif » Liberalisme: Suatu fenomena global (sambungan)

Liberalisme: Suatu fenomena global (sambungan)

Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah. Foto : https://www.indahnyaislam.my/

Oleh SIDEK BABA

Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba adalah Profesor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Malaysia tidak saja menghadapi puluhan ajaran sesat tetapi berdepan dengan pengaruh liberalisme dan pluralisme agama yang bercanggah dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ia menyentuh hal-hal akidah dan syariah semata-mata kekaguman pemikir Islam terhadap tamadun Barat sehingga al-Quran dianjurkan supaya disesuaikan dengan perkembangan zaman menggunakan kaedah hermeneutika (suatu kaedah atau metodolgi penafsiran Bible yang kemudiannya dikembangkan oleh pemikir Protestan).

Fahaman ini jauh lebih mempengaruhi akibat lemahnya ilmu Islam di kalangan penganutnya disegenap peringkat dan tampil menyalahkan pendekatan lama dalam memberi tafsir sebagai jumud, tidak progresif,  dan ketinggalan zaman. Faham ini sangat berkembang di Indonesia dan sedang mempengaruhi golongan profesional di Malaysia.

Terkini tampil sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka G25. Mereka begitu lantang mempersoalkan hak peribadi dan hak awam yang tidak berasaskan nas al-Quran di kalangan profesional dan mengkritik JAKIM, pihak berautoriti yang menjaga dan mengurus hal ehwal agama Islam supaya Islam tidak disalah tafsir oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dr Khalif Muammar seorang pengkritik Islam Liberal menyatakan amat malang apabila ramai di kalangan orang Islam, bahkan di kalangan aktivis Muslim sendiri yang menerima idea-idea Barat seperti pluralisme agama serta kesetaraan gender (gender equality). Lebih malang lagi mereka menjustifikasikan idea-idea tersebut dengan menggunakan al-Quran dan al-Hadis. Mereka lakukan ini dengan alasan mahu dilihat sebagai golongan ‘moderate’ dan Islam yang mereka anuti kelihatan sebagai agama rahmatan lil ‘alamin.

Mereka tidak sedar bahawa mereka telah terpengaruh dengan faham-faham asing yang bertentangan dengan akidah mereka. Mereka telah terdidik di Barat tanpa memiliki kefahaman yang mendalam tentang Islam dan merasakan idea-idea Barat itu lebih segar dan rasional. Meski golongan ini solat lima waktu dan berpuasa, tetapi mereka terkeliru dan mudah dipengaruhi faham-faham asing kerana tidak memiliki pandangan alam (worldview) Islam.

 

Pemikiran Liberalisme

Keputusan Mesyuarat Panel Kajian Syariah Jakim kali ke 46 pada 19 hingga 20 April 2004 berhubung kajian Aliran Pemikiran Sisters in Islam (SIS) telah memutuskan keputusan, “Penglibatan Sisters in Islam adalah sama dengan Islam Liberal yang diperkenalkan di Indonesia yang tidak mempercayai pandangan ulama-ulama terdahulu dalam kitab-kitab turath”.

Susulan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Ugama Islam kali ke-74 yang bersidang  pada 25 hingga 27 Julai 2006 mengenai Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya di Malaysia turut menyentuh isu pergerakan SIS telah menetapkan:

  1. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.
  2. Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan yang dijelaskan, Muzakarah memutuskan bahawa aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Pendukung liberalisme dan pluralisme agama terus tegar, aktif dan semakin lantang di peringkat lokal, regional mahupun global. Mereka menyebarkan fahaman tanpa sebarang tindakan perundangan dikenakan meskipun wujud jelas banyak perkara yang dijustifikasikannya berkaitan penyelewengan akidah mahupun syariah.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidaang pada 6 Jun 2013 telah menetapkan fahaman atau doktrin liberalisme dan pluralisme agama secara individu mahupun institusi sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Pemikiran liberalisme dan pluralisme agama meyakini bahawa Islam sebagai agama yang berkembang, progresif dan menjunjung nilai-nilai universal dan sentiasa mengalu-alukan pembaharuan bagi menepati kehendak dan prinsip asalnya. Namun prinsip tersebut juga mengiktiraf idea relativisme (kenisbian) dimana tiada kebenaran mutlak yang boleh dicapai dan tidak ajaran asasi yang menjamin keselamatan dan kebahagiaan.

Idea tersebut menganjurkan idea persamaan dan kesetaraan dimana ‘tiada kebenaran yang bersifat mutlak dan muktamat (teras kepada sekularisasi dan pegangan terhadap nilai pluralisme agama). Sekularisme sebagai fahaman yang menyingkirkan unsur dan pengaruh agama dalam urusan dunia sementara pluralisme sebagai fahaman yang menafikan eksklusivisme (hanya untuk seseorang atau golongan yang tertentu) agama dan menganjurkan ecumenism (yang menjunjung nilai toleransi agama) ternyata bertentangan dengan ajaran agama yang diwarisi sekian lama dimana kebanyakan agama besar dunia sama ada Islam, Kristian mahupun Yahudi sentiasa menuntut penganut masing-masing meyakini akan kebenaran agama sendiri dan menafikan akidah agama selainnya.

Bagi mengharmonikan pertentangan yang berlaku, golongan Islam Liberal mengambil pendekatan bahawa sekularisasi bukanlah suatu usaha merendah atau menafikan keberadaan agama tetapi tiada pertentangan antara sekular dan Islam antara lain menterjemahkan sebagai “toleransi agama”.

Adapun ajaran atau teks agama yang dilihat bertentangan dengan sekularisme bukanlah sesuatu yang mutlak atau kehendak dari ajaran asal agama tapi kesilapan atas memahami teks agama atau ianya bersifat sementara atau terkhusus untuk masa dan tempat tertentu sahaja. Justeru, pendekatan utama melalui pengharmonian antara agama dan sekularisme, pluralisme dan nilai-nilai humanisme sejagat termasuk dukungan terhadap Hak Asasi Manusia ialah pernafsiran semula teks agama secara hermeneutika.

 

Persamaan Dengan Islam Liberal Di Indonesia

Gerakan liberalisme dan pluralisme di Malaysia mempunyai persamaan dengan Islam Liberal di Indonesia dari aspek gagasan Islam dan dasar yang mahu dilaksanakan. Aliran ini beranggapan bahawa adalah sesuatu yang terlalu asas dan perlu didahulukan untuk mereformasikan semula maksud Islam dan ajarannya kepada pengertian dan maksud asal agama itu diwahyukan.

Mereka menekankan keutamaan amalan ijtihad dan demokrasi serta menolak sebarang autoriti keagamaan. Dalam usaha merealisasikan pembaharuan dan kemajuan bagi Islam dan umatnya, mereka juga menganjurkan sekularisasi dan liberalisasi agama serta yang digagaskan oleh para ahli teologi liberal Barat. Fokus utama liberalisasi agama ialah untuk mempertahankan hak-hak asasi manusia dan membela nasib golongan lemah dan tertindas terutamanya golongan miskin dan wanita disamping reformasi agama mengikut model hermeneutika, menolak syariah klasik dan mengambil sikap yang kritikal terhadap ajaran dan amalan yang diwarisi dari golongan Tradisionalis.

Konsep Islam sebagai agama menurut fahaman Islam Liberal atau pun Islam Progresif, merujuk kepada sebuah agama yang bersifat berkembang, universal, progresif dan dinamik. Justeru segala tafsiran dan amalan Islam itu perlu ditafsirkan dengan prinsip-prinsip asasnya yang menjunjung nilai-nilai universalisme, hak-hak kemanusiaan dengan memberi fokus kepada hak-hak wanita, golongan minoriti, kaum bukan Islam yang berada di bawah sistem perundangan Islam, hak-hak kesetaraan tanpa mengira agama, budaya dan fahaman politik, serta hak kebebasan berfikir dan berekspresi. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *