Home » Langit Terbuka » ‘Like A dog’: Keluarga anggap hanya gurauan

‘Like A dog’: Keluarga anggap hanya gurauan

Sedutan video `Like A Dog' berlatarbelakangkan bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang dianggap hanya gurauan oleh keluarga Namawee.

MUAR: Keluarga Namewee anggap klip video terbaharu ‘Like A Dog’ hanyalah cara pengarah dan pemuzik kontroversi itu untuk bergurau.

Seorang ahli keluarga Namewee yang enggan dikenali berkata, klip video terbabit dihasilkan untuk membuat orang ketawa dan menyanyi sahaja.

“Tak ada apa, …dia (Namewee) selalu buat apa kita bersetuju dengan dia. It’s a joke (gurauan)… video itu untuk kasi (beri) orang ketawa, nyanyi.

“Hanya mungkin ada orang buat apa-apa kita tak tahulah. Dia pun tak kacau sama mereka. Betul tak?” katanya ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai lokasi terkini pengarah dan pemuzik kontroversi itu, lelaki lingkungan 40-an itu mendakwa tidak pasti kerana Namewee mempunyai banyak program.

“Saya ingat mungkin sekarang ada di Penang (Pulau Pinang), …dia selalu ada program, New Year (Tahun Baharu Cina) banyak buat persembahan. Kita selalu cakap (berhubung) dengan dia pun menerusi (aplikasi) WhatsApp sahaja.

“Dia jarang balik, …before new year (sebelum Tahun Baharu Cina) dia ada balik (rumah di Muar)…lepas makan dia sudah balik. Dia ada banyak program,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan Namewee memuat naik klip video bertajuk Like A Dog, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun berkata, polis kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Minggu lalu, Namewee memuat naik klip video terbaharunya sempana Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ yang memaparkan individu memakai topeng anjing dengan tarian lucah berlatar belakang Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Klip video itu mencetus kemarahan pelbagai pihak kerana dikatakan menghina rakyat Malaysia terutama orang Melayu beragama Islam. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *