Home » Langit Terbuka » LRT3 tidak jejas perkuburan Islam Simpang Lima – JAIS

LRT3 tidak jejas perkuburan Islam Simpang Lima – JAIS

KLANG 27 Sept. – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memberi jaminan projek pembinaan laluan ketiga sistem transit aliran ringan (LRT3) tidak akan menjejaskan kawasan Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima di sini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, perkara itu dimaklumkan ke­pada pihaknya se­masa perbincangan khas dengan sya­rikat konsesi pro­jek berkenaan ber­sama beberapa agensi lain baru-baru ini.

Katanya, dalam perbincangan itu, Prasarana memaklumkan yang projek tersebut tidak akan melibatkan tanah perkuburan berkenaan sebaliknya hanya melaksanakan bancian terhadap beberapa tapak kubur di kawasan berhampiran dengan jajaran laluan LRT3 untuk memenuhi keperluan pengurusan risiko pembangunan dan kajian impak ke atas projek LRT3.

“Bancian itu juga diadakan untuk mengenal pasti waris-waris jenazah tapak kubur berhampiran dengan jajaran LRT3 sebagai data rujukan yang berkait dengan pengurusan risiko tersebut.

“Malah, syarikat konsesi dijangka memanggil waris-waris yang dikenal pasti untuk diberi penerangan dan penjelasan mengenai perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 September lalu, lebih 100 ahli keluarga jena­zah yang dikebumikan di Ta­nah­ Perkuburan Islam Simpang Lima dilaporkan menuntut pihak berwajib mengkaji semula pemberian tanah kepada syarikat konsesi untuk melaksanakan projek pembinaan laluan LRT3.

Mereka tidak bersetuju de­ngan rancangan pengambilan tanah perkuburan berkenaan untuk pelaksanaan projek itu yang didakwa akan menyebabkan jenazah yang telah dikebumikan sejak 100 tahun lalu terpaksa dialih ke kawasan lain.

Dalam pada itu, Haris menyifatkan bantahan waris-waris jenazah yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam tersebut merupakan salah faham selain meminta mereka yang terlibat memberikan kerjasama kepada syarikat konsesi atau berhubung terus dengan Pejabat Agama Islam Daerah untuk maklumat lanjut.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *