Home » Langit Terbuka » Mahkamah benarkan Israel guna kekerasan

Mahkamah benarkan Israel guna kekerasan

Dakwa bukan bantahan awam tetapi konflik bersenjata Hamas

TEL AVIV 25 Mei – Mahkamah Agung Israel membenarkan tentera rejim Zionis menggunakan kekerasan terhadap penduduk Pa­lestin semasa tunjuk perasaan dan pertempuran di sempadan Gaza.

Dalam keputusan mahkamah setebal 41 muka surat, panel tiga hakim sebulat suara menolak satu petisyen yang difailkan kumpulan hak asasi manusia Israel dan Palestin untuk menghalang penggunaan peluru hidup oleh penembak tepat tentera.

Ketua Hakim, Esther Hayut bersetuju dengan pendirian kerajaan bahawa penunjuk perasaan Gaza bukan pembantah awam yang melakukan bantahan secara aman tetapi sebahagian daripada konflik bersenjata antara Israel dan pentadbir wilayah Gaza yang dikuasai Hamas.

Bagaimanapun kata beliau, di sebalik keputusan yang dibuat, tentera perlu meneruskan kajian dalaman berhubung insiden terbabit dan prosedurnya.

Peraturan menggunakan kekerasan mendapat kecaman hebat masyarakat antarabangsa selepas tentera Israel menembak mati sekurang-kurangnya 62 warga Ga­za dengan sekurang-kurangnya 2,400 lagi cedera pada 14 Mei lalu selepas ribuan penduduk awam Pa­lestin membantah pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengutuk keganasan dilakukan oleh tentera Israel ke atas penunjuk perasaan Palestin.

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) menuntut supaya satu siasatan bebas diadakan, perkara yang sama disuarakan Britain, Jerman dan Switzerland.

Israel menentang cadangan itu dengan Amerika selaku penyokong kuat Tel Aviv menghalang usaha supaya siasatan dilakukan di PBB.

Ini tidak termasuk tindakan Ireland dan Belgium memanggil duta Israel memberi penjelasan ketika Afrika Selatan memanggil pulang dutanya ke Israel.

Sejak bantahan dilakukan penduduk Palestin, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 121 penduduk Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, Putera William akan menjadi anggota kanan keluar­ga diraja Britain yang pertama me­lakukan lawatan rasmi ke wilayah-wilayah Palestin dan Israel, iaitu sebahagian daripada siri jelajahnya pada Jun ini.

Istana Kensington berkata, William akan memulakan lawatannya ke Jordan pada 24 Jun ini diikuti ke Tel Aviv keesokannya sebelum beliau melawat Baitulmuqaddis pada 26 Jun disusuli Ramallah pada 27 Jun. – AFP / UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *