Home » Langit Terbuka » MAIJ pertama agih kutipan baitulmal kepada bukan Islam

MAIJ pertama agih kutipan baitulmal kepada bukan Islam

Bantuan akan disalurkan menerusi Program Bantuan Kemanusiaan Sejagat (Bantuan Kebajikan kepada Pesakit Bukan Islam) di sembilan hospital kerajaan negeri ini.

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) muncul majlis agama pertama di negara ini mengagihkan hasil kutipan baitulmal kepada bukan Islam dengan peruntukan RM500,000 sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, ‘Alim Abdul Shukor, berkata bantuan itu akan disalurkan menerusi Program Bantuan Kemanusiaan Sejagat (Bantuan Kebajikan kepada Pesakit Bukan Islam) di sembilan hospital kerajaan negeri ini.

Beliau berkata, ia kali pertama diperkenalkan dan akan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Isnin.

Katanya, selepas diperhalusi dan mengambil kira semangat toleransi sesama umat sejagat yang dibawa Rasulullah SAW, Bahagian Baitulmal MAINJ bersetuju menyediakan bantuan bersifat ‘one off’ dan hanya akan diberikan kepada pesakit serta keluarga kurang berkemampuan.

“Kami dapati, ia juga antara bentuk dakwah kepada bukan Islam dan peruntukan ini diambil menerusi sumber Baitumal 2018.

Sebanyak RM300,000 daripada jumlah keseluruhan itu akan diberikan untuk bantuan pembelian peralatan, implan dan keperluan lain dengan seorang individu diberikan bantuan maksimum RM1,000, menjadikan 300 orang akan menerima manfaat ini.

“Baki RM200,000 diperuntukkan untuk bantuan segera keperluan makanan dan tambang dengan maksimum bantuan RM200 seorang dan kami menjangka seramai 1,000 pesakit mendapat manfaat itu.

“Sebenarnya ada perbezaan antara zakat dan baitulmal. Institusi zakat berfungsi untuk menguruskan kutipan zakat, diagihkan kepada asnaf zakat yang layak, manakala baitulmal untuk menguruskan pelbagai harta umat Islam seperti harta pusaka, harta dijumpai, harta tidak penuh syarak, wang derma dan sedekah, wasiat serta wang amanah fidyah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, wang kutipan zakat hanya boleh diagihkan kepada lapan jenis asnaf, manakala penggunaan sumber baitulmal lebih meluas merangkumi pelbagai manfaat dan kebajikan, seluruh rakyat negeri ini dan bukan Islam boleh menerima manfaatnya, namun keutamaan diberikan kepada umat Islam.

Katanya, nisbah bantuan disalurkan menerusi program itu juga tidak besar berbanding jumlah agihan keseluruhan baitulmal 2018 sebanyak RM14 juta, selain agihan zakat khusus untuk umat Islam sebanyak RM279.3 juta.

“Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) masing-masing menerima RM120,000; Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat masing-masing RM70,000; Hospital Permai, Tampoi, RM50,000; Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang dan Hospital Segamat masing-masing RM30,000 manakala Hospital Mersing dan Hospital Pontian masing-masing menerima RM5,000.

“Hanya penduduk Malaysia, bertaraf penduduk tetap dengan isteri warga Malaysia dan melepasi garis panduan Jabatan Kebajikan Sosial Hospital boleh menerima bantuan ini.

“Keutamaan diberikan kepada mereka yang bermastautin di Johor dan kami berharap, bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *