Home » Citra Yadim » MAIM bersama 140 NGO hantar memorandum bantah penghinaan kepada Islam

MAIM bersama 140 NGO hantar memorandum bantah penghinaan kepada Islam

KUALA LUMPUR – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) YADIM  pada 10 Jun menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Jalan Pahang di sini berhubung isu penghinaan kepada Islam dan Nabi Muhammad baru baru ini.

MAIM mewakili 140 badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bersamanya hadir secara aman kira kira jam 10.30 pagi bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Keengganan pihak kedutaan menerima memorandum itu, tidak mematahkan semangat wakil wakil pertubuhan berkenaan yang tekad dan bersikap profesional cuba berbincang bagi menyampaikannya.

Bercakap kepada media selepas itu, Pengerusi MAIM, Ustaz Muhammad Najhan Shahir Halim berkata penghinaan terhadap Islam  itu mampu menggugat keharmonian sejagat dan ketidakstabilan masyarakat.

“Antara kandungam memorandum ialah kami mendesak agar kerajaan India khasnya PartiBharatiya Janata (BJP) mengenakan tindakan tegas terhadap pemimpinnya yang mengeluarkan kenyataan berkenaan samada melucutkan jawatan dalam parti mahupun kerajaan sekiranya ada.

“Kami turut mendesak agar pihak kerajaan India khasnya Parti BJP memohon maaf kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang,” tegas beliau.

Tambah Muhammad Najhan, pihaknya juga menyokong usaha dan tindakan tegas kerajaan Malaysia yang memanggil Kedutaan India serta menyatakan bantahan rasmi terhadap kerajaan India.

Antara yang hadir bersama menyerahkan memorandum bantahan itu ialah Timbalan Pengerusi MAIM, Ustaz Masridzi Sat, Penasihat Ummah, Kamaruzaman Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Kebiadapan jurucakap parti BJP, Nupur Sharma yang membuat kenyataan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial baru baru ini telah menimbulkan gelombang kemarahan masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *