Home » Langit Terbuka » MAIWP menang dua tahun berturut-turut

MAIWP menang dua tahun berturut-turut

PUTRAJAYA 1 Nov. – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dinobatkan sebagai Jabatan Paling Inovatif untuk tahun kedua berturut-turut sempena Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Jaffar ber­kata, kejayaan kali ini merupakan hasil daripada komitmen MAIWP dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar di Kuala Lumpur.

“Program ini merupakan usaha kita dalam menangani masalah gelandangan yang terlalu ramai. Pelbagai kaedah dan cara yang dilaksanakan pihak MAIWP untuk mengatasi masalah ini.

“Salah satunya, kita menubuhkan skuad jejak asnaf yang akan turun padang pada setiap malam untuk menemui gelandangan dan kita akan membantu untuk me­nyelesaikan masalah mereka,” ka­tanya ketika ditemui selepas Ha­ri Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Men­teri 2016 di sini hari ini.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Pada majlis itu, sebanyak 20 warga agensi di bawah JPM telah dianugerahkan Pingat Per­khidmatan Cemerlang.

MAIWP turut menerima dua anugerah iaitu Naib Johan bagi Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kategori Pengurusan yang membawa pulang RM3,000 dan sijil penghargan serta Johan Anugerah Inovasi JPM Kategori Non ICT dengan membawa pulang RM7,000, piala dan sijil.

Katanya, MAIWP bukan sahaja turun padang untuk melawat dan ziarah malah pihaknya akan turut membantu mengatasi masalah yang dihadapi gelandangan termasuk mendapatkan rumah untuk mereka serta keperluan pendidikan kepada anak-anak.

“Alhamdulillah, melalui program ini kita sudah membantu seramai 3,500 gelandangan dalam masa dua tahun malah kita turut memberi bantuan kewangan setiap bulan antara RM250 hingga RM750 mengikut jumlah tanggungan,” katanya.

Dalam pada itu, penerima Pi­ngat Perkhidmatan Cemerlang, Fatimah Mohamad @ Yousof, 56, berkata, dia berterima kasih de­ngan pengiktirafan yang diberikan kerajaan terhadap perkhidmatannya yang kini telah mencecah 30 tahun.

Fatimah yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu berkata, antara nilai penting yang perlu ada pada diri seseorang penjawat awam adalah sikap positif serta sentiasa berusaha untuk maju demi jabatan dan negara.

“Apa yang saya boleh katakan adalah kita sebagai penjawat awam perlu terus positif dalam menggalas segala tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.

“Penjawat awam perlu mempunyai semangat setiakawan dalam menjayakan setiap program kerajaan serta melaksanakan semua dasar-dasar dengan ikhlas demi kemudahan rakyat keseluruhannya,” katanya.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *