Home » Citra Yadim » Majlis Makan Malam Bersama Rakan Strategik YADIM Sarawak

Majlis Makan Malam Bersama Rakan Strategik YADIM Sarawak

KUCHING – Kerana dakwah itu perlu berstrategi, berpasukan, sistematik dan berdasarkan fakta dan kajian.

Cabaran berdakwah masa kini memerlukan usaha yang bukan sedikit untuk menjadikannya berjaya, memerlukan sesebuah organisasi tidak boleh lagi bergerak bersendirian.

Bagi memastikan inisiatif melestari geralan dakwahnya berjaya, YADIM di Sarawak menghulurkan tangan dan menyeru rakan rakan strategiknya untuk terus bekerjasama bersama menjalankan tugasan dakwah.

Hasrat tersebut disampaikan Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dalam Majlis Makan Malam Bersama Rakan Strategik YADIM Sarawak di Dewan HIKMAH, Kuching pada 27 Julai.

Program berkenaan menerima sambutan sangat baik apabila seramai 17 agensi dan 31 rakan badan bukan kerajaan (NGO) menyertainya.

Antara yang hadir termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dan Penjara Puncak Borneo.

Rakan NGO yang hadir ialah seperti PERKIM, ABIM, WADAH, HIKMAH, ISMA, IRM termasuklah Rakan Siswa YADIM.

Sementara itu, Datuk Hasanuddin juga dalam ucapannnya berkata, YADIM akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana mana pihak, selaras dengan konsep YADIM milik semua, menggambarkan hasrat kebersamaan badan ini dengan semua.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin dalam ucapan aluannya berkata, majlis ini bertujuan menzahirkan tanda penghargaan pihaknya kepada rakan-rakan strategik yang telah bekerjasama, khusus di Sarawak yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, rakan-rakan NGO Islam dan media.

Ujarnya, beliau berharap ukhuwwah yang terjalin akan berterusan, seterusnya menjadi penggalak buat semua untuk meneruskan usaha gerak kerja dakwah di Bumi Kenyalang ini.

Pada majlis yang sama diadakan simbolik pelancaran Program Kembara Madani YADIM@Masjid dan penyerahan sijil penyertaan Sukarelawan YADIM Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman.

Hadir ke program ini antaranya ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Haji Alwi Morshidi, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Haji Ahmad Sukarno Haji Saini, Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Datu Dr Azhar Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datu Khirudin Drahman, Pengarah JAKIM Sarawak, Ustaz Hamdan Jarée dan Naib Yang Dipertua HIKMAH, Toh Puan Hajah Hayati Ahmad.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *