Home » Citra Yadim » MALAYSIA DARI KACAMATA MUSLIM AMERIKA

MALAYSIA DARI KACAMATA MUSLIM AMERIKA

Kuala Lumpur – Satu sesi ceramah oleh Imam Abdul Malik Mujahid, seorang aktivis Amerika Syarikat  telah dianjurkan oleh Bahagian Dakwah Outreach, Sektor Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dengan kerjasama Biro Tatanegara Kuala Lumpur. Ceramah tersebut telah diadakan di Auditorium Utama, BTN, Jalan Bellamy kelmarin.

 

Imam Abdul Malik yang merupakan pengasas Sound Vision Foundation telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Malaysia in Perspective of American Muslim.” Sound Vision Foundation merupakan penerbit rancangan berbentuk Pendidikan Islam dan Muslim. Beliau juga bertindak sebagai Penerbit Eksekutif bagi rancangan bual bicara Radio Islam yang berlokasi di Chicago.

Beliau juga aktif menulis dengan menerbitkan lebih daripada 400 artikel dan esei yang menyentuh tentang agama, hal-hak sivil dan polisi awam. Bukunya, Conversion to Islam : Untouchables Strategy for Protest in India merupakan pemenang dalam Anugerah Outstanding Academic Book of the Year oleh Persatuan Perpustakaan Amerika pada tahun 1990.

Dalam ceramah tersebut, Imam Malik menjelaskan bagaimana Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang amat dikagumi oleh kelompok muslim Amerika Syarikat. “Bagi kami, Malaysia adalah sebuah negara yang mengkagumkan. Ini kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi, memiliki pemimpin yang disegani seluruh dunia seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga mempunyai tempat pelancongan yang sangat menarik.”

Tambah beliau, Malaysia mempunyai terlalu banyak keistimewaan sehinggakan ada di kalangan Muslim Amerika yang mendambakan diri untuk berkhidmat di sini. Beliau juga melahirkan rasa kagum dengan penglibatan kaum wanita dalam pelbagai bidang di sini.

Imam Malik turut menyentuh tentang kepentingan untuk menjalin hubungan dengan para pelancong yang dianggarkan lebih 28 juta orang yang mengunjungi Malaysia setiap tahun. “Para pelancong ini boleh didedahkan dengan keistimewaan Islam itu sendiri di samping boleh dijadikan duta memperkenalkan keistimewaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam kepada rakan dan taulan di negara mereka.”

Beliau berkongsi pengalaman menarik apabila salah seorang rakan beliau akhirnya memeluk Islam selepas melancong ke sebuah negara Islam. Motivasi tersebut hadir apabila melihat sendiri cara hidup yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara itu.

Imam Malik beberapa kali meminta supaya rakyat Malaysia mencintai bumi Malaysia kerana kelebihannya yang tidak terdapat di negara-negara lain. Di samping, menyeru supaya masyarakat muslim Malaysia berkongsi kisah mereka dengan  masyarakat di luar sana.

Majlis turut dihadiri oleh Pengurus Besar Operasi, Kapten Dr. Shamsudin bin Moner.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *