Home » Langit Terbuka » Malaysia gesa gencatan senjata di Gaza, buka koridor kemanusiaan di Rafah – PM Anwar

Malaysia gesa gencatan senjata di Gaza, buka koridor kemanusiaan di Rafah – PM Anwar

Foto- The Merdeka Times

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin termasuk menggesa gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri melalui perbualan telefon bersama Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, semalam.

“Mengambil kira situasi yang teruk di Gaza, saya sangat menyokong pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah.

“Selain itu, penting juga bagi Israel untuk mengetepikan sikap mereka terhadap politik perampasan, selain (memastikan) gencatan senjata serta-merta dengan Hamas dan benar-benar berusaha ke arah resolusi keamanan untuk menamatkan konflik yang berterusan,” katanya melalui Facebook, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri ketika sesi penerangan mengenai perkembangan terkini krisis Palestin-Israel di Dewan Rakyat mengecam sikap kepura-puraan dan hipokrit negara Barat kerana mengizinkan kezaliman berterusan Israel terhadap Palestin, tetapi keras terhadap Russia dalam isu Ukraine.

Beliau berkata, dunia Barat menutup mata dan membenarkan tindakan penghapusan etnik oleh rejim Israel yang jelas menyalahi undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Perdana Menteri melalui hantaran sama hari ini berkata, adalah penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas disebabkan krisis yang berlaku ini.

“Dalam semangat ini, kami komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri akan ke Riyadh, Arab Saudi Khamis ini, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC), dengan perbincangan khusus akan diadakan mengenai tindakan segera yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berlepas ke Jeddah malam kelmarin atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi sidang itu.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *